-->

Type something and hit enter

Pages

Translate


On
 KARANGAN RAMALAN SPM 2017
Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.        
           Dalam kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri atau memandang ke hadapan atau ke belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran. Bagaimanapun kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara, namun jarak yang jauh menyebabkan pergantungan kita pada jiran tetap ada. Jiran ialah tetangga atau mereka yang tinggal di sekitar kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya kita perlu bertolak ansur dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa muafakat membawa berkat. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam kehidupan seharian.  Walau bagaimanapun, pada era globalisasi yang dipenuhi pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat semakin luntur Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?

Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini tidak hilang daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama-sama. Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk setempat dapat berkumpul untuk berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan mengenali antara satu sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal makan tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara gotong-royong adalah seperti membersihkan kawasan, mengadakan rumah terbuka, kenduri dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara gotong-royong memerlukan masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran tambahan pula mereka juga sedar akan peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti.  Apabila dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan semangat kejiranan. Konklusinya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.

Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik kepada anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti aur dengan tebing atau ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai semangat kejiranan dan prihatin terhadap jiran mereka. Apabila mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil tahu akan hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran dan cuba membantu mereka supaya dapat meringankan beban yang dihadapi oleh jiran. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang lain.  Sebagai analoginya, ketika ketua keluarga kurang sihat, maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal jauh dari tempat tinggal mereka, mendapatkan bantuan kecemasan ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa yang berjaya menjadi iktibar yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka bersempena dengan sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim dan menjalin ukhuwah, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama-sama. Dalam majlis tersebut,  masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini.  Sebagai contohnya, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan  Kehadiran ibu bapa bersama-sama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah dapat menanamkan semangat kekitaan dalam diri anak-anak dan mengamalkan semangat kejiranan Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang harmoni

Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemai budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat sebagai langkah untuk mengukuhkan dan meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anak-anak-anak menziarahi jiran tetangga pada masa-masa yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan keadaan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan bersama-sama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan sentosa walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit . Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap anani dan hidup seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan beban yang dialami oleh jiran kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh mengamalkan budaya kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.

Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti sering mengadakan aktiviti seperti hari keluarga untuk merapatkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti kemasyarakatan ini kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama-sama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai permainan yang disediakan.  Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan hidup bantu-membantu dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem yang teratur.  Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti pertubuhan rukun tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan Kampung (JKKK) dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui pertubuhan seumpama ini, masyarakat setempat mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman secara bergilir-gilir untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini daripada berlaku seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat kejiranan atau saling membantu antara satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial sebagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap individu amat penting untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dan membentuk perpaduan kaum.  Walau apa-apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk meminta bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menonjolkan diri kita sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Jiran Sepakat Membawa Berkat perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan budaya yang terpuji ini. Amalkan dengan hati yang tulus, barulah kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh.   Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa diamalkan supaya negara kita sentiasa aman, harmoni, dan sentosa.

http://cikgutancl.blogspot.my/2017/07/karangan-ramalan-spm-2017.html
Back to Top