-->

Type something and hit enter

Pages

Translate


On
SEBAGAI sebuah universiti bertaraf global, Management & Science University (MSU) turut memainkan peranan membantu kerajaan memperkasakan modal insan di negara ini khususnya dalam bidang perubatan.

Selari dengan matlamat itu, MSU menawarkan program perubatan iaitu Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembe­dahan (MBBS) melalui International Medical School (IMS) di kampus utama MSU di Shah Alam dan kampus pesisir antarabangsanya di Bangalore, India.

Program perubatan MSU terbukti berkualiti, malah kampus pesisir antarabangsanya di Bangalore merupakan sekolah perubatan pertama mendapat akreditasi untuk tempoh lima tahun dari­pada Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Selain itu, program MBBS turut mendapat pengiktirafan badan profesional antarabangsa iaitu Majlis Perubatan Sri Lanka (SLMC) dan Majlis Perubatan dan Pergigian Maldives (MMDC).

Program MBBS di MSU menawarkan pembelajaran untuk jangka masa lima tahun dan pelajar perlu melalui tiga fasa pengajian yang dibezakan oleh jangka masa, subjek dan aktiviti.

Fasa pertama dan kedua merangkumi sis­­tem berasaskan mo­­dul, sementara fa­sa ketiga adalah penempatan berasas­kan pengkhu­susan se­per­ti Perubatan, Pem­be­dahan, Obstetric and Gynecology, Pediatrik, Psikiatri, Primary Care, Ortopedik dan Perubatan Kecemasan.

Pelajar turut mendapat pendedahan latihan klinikal di dua hospital utama di Malaysia iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor.

Selepas ini, kemudahan pem­belajaran untuk program perubatan akan dipertingkatkan apabila MSU menubuhkan hospital pengajaran sendiri dikenali sebagai MSU Medical Centre yang menyediakan kemudahan latihan klinikal kepada para pelajar perubatannya.

Selain aspek akademik, pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti luaran yang bermatlamat memperkasakan pengalaman pembelajaran serta kemahiran insaniah mereka.

Selepas tamat pengajian, pelajar perlu mendaftar dengan Jabatan Perkhid­matan Awam (JPA) dan akan ditempatkan di hospital awam di seluruh Malaysia di bawah pengawasan Kementerian Kesihatan bagi memenuhi tuntutan latihan (housemanship) selama dua tahun serta perkhidmatan wajib selama tiga tahun.

Bagi mereka yang berminat mengikuti program tersebut, pengambilan pelajar baharu diadakan pada April dan September setiap tahun dan dibuka kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Asasi MSU, diploma, A-Level dan matrikulasi.

Pelajar yang memohon mengikuti program MBBS perlu menduduki Medical Entry Test (MET) yang akan me­ngukur tahap kebolehan setiap calon.

MSU memberi keutamaan kepada pendidikan berkualiti dan penggunaan kaedah pembelajaran dan pengajaran abad ke-21 ke arah melahirkan graduan yang kompeten dan versatil.

Program pengajian yang ditawarkan menjamin perkembangan kemahiran insaniah melalui pengalaman pembelajaran menyeluruh. Pelajar juga berpeluang mendapat pendedahan antarabangsa me­lalui Global Mobility Programme (GMP), Global Leadership Programme (GLP) dan Global Internship Programme (GIP).
Back to Top