SPM 2017 : Soalan Peperiksaan Percubaan / Nota / Tips / Ramalan


Usaha-usaha Meningkatkan Penggunaan Kemudahan Pusat Sumber Sekolah



Contoh Karangan Bahasa Melayu SPM Usaha-usaha Meningkatkan Penggunaan Kemudahan Pusat Sumber Sekolah
Bahagian A
[30 markah]
(Masa dicadangkan : 45 minit)

Gambar di bawah menunjukkan suasana di sebuah pusat sumber sekolah. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah. Panjangya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan
       
PUSAT SUMBER SEKOLAH


   LOKASI PUSAT SUMBER PERLULAH STRATEGIK

MENGHEBAHKAN      KEMUDAHAN PUSAT SUMBER KEPADA PELAJAR

MENGADAKAN PROGRAM MEMBACA

GALAKAN TEMPAT PENGAJARAN DAN PEMBELAJAR

Pusat sumber bertindak sebagai bank atau gedung ilmu pengetahuan kepada pelajar. Banyak bahan bacaan dikumpulkan dan disimpan di sana. Antaranya termasuklah bahan rujukan, buku cerita, majalah, surat khabar dan sebagainya daripada pelbagai negara. Kesemua bahan ini adalah untuk bacaan dan rujukan murid dan warga sekolah. Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di pusat sumber, contohnya kemudahan ASTRO kampus, ICT, makmal bahasa, bilik audio visual, dan sebagainya. Pelajar yang bijak dan tahu erti kepentingan ilmu akan memperoleh  pelbagai manfaat  jika memaksimum penggunaan  kemudahan pusat sumber sekolah. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk meningkatkan penggunaan  kemudahan Pusat Sumber Sekolah?
Antara usaha untuk meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah (PSS) adalah dengan  memastikan lokasi pusat sumber sekolah perlulah strategik agar mudah dikunjungi oleh pelajar kerana prasarana berkenaan merupakan gedung ilmu. Misalnya, lokasi pusat sumber perlu terletak di bahagian bawah atau paras paling rendah sesebuah bangunan agar memudahkan pengunjung. Lokasi PSS juga perlu jauh daripada suasana kebisingan untuk membolehkan pengunjung memberi tumpuan terhadap bahan yang dibaca. PSS juga perlu terletak di tempat yang menjadi tumpuan semua orang.  Bangunan tersebut perlulah dicat dan dihias dengan mural yang sesuai dan menarik supaya menjadi tarikan murid untuk  mengunjungi dan meneroka kemudahan yang terdapat di pusat sumber itu, bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Selain itu,  suasana di dalam pusat sumber perlulah kondusif seperti terdapat penyaman udara, dan ruang membaca dan membuat rujukan yang selesa. Suasana di pusat sumber juga perlu ceria, bersih dan senyap agar pengunjung dapat memperoleh ketenangan dan memberi tumpuan terhadap bahan yang dibaca. Buku-buku yang terdapat dalam PSS perlulah ditambah bilangannya dan yang terkini. Waktu PSS juga perlu ditambah untuk membolehkan murid-murid meminjam buku dan membaca atau membuat ulang kaji. Sekiranya PPS kondusif serta mesra pelajar sudah pasti pelajar di sekolah berkenaan akan membudayakan membaca sebagai amalan mereka, malah bilangan pelajar cemerlang dalam ujian malah peperiksaan akan meningkat. Tegasnya, lokasi pusat sumber sekolah perlulah strategik dan kondusif untuk kemudahan dan keselesaan pelajar.
Usaha seterusnya ialah guru Pusat Sumber Sekolah  perlu menghebahkan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaharu yang disediakan di pusat sumber. Hebahan tersebut boleh dilakukan semasa perhimpunan mingguan atau melalui iklan di kawasan tumpuan pelajar seperti di laluan utama, di papan kenyataan dan juga melalui guru mata pelajar. Melalui saluran ini, murid-murid dapat mengetahui maklumat terkini tentang kemudahan terbaharu yang terdapat di pusat sumber seperti e-pusat sumber iaitu kemudahan pusat sumber yang menggunakan rangkaian internet dan komputer dan sistem automasi. Di samping itu, bahan rujukan dan koleksi buku cerita pelbagai bahasa juga dihebahkan untuk menarik minat pelajar mengunjungi pusat sumber. Maklumat-maklumat tentang buku dan bahan rujukan terkini perlu ditampalkan di papan kenyataan pusat sumber dan kelas-kelas untuk rujukan murid. Jikalau, uasaha ini dijalankan berterusan sudah pasti bilangan pelajar mengunjungi pusat sumber sekolah akan meningkat, minat membaca dalam kalangan pelajar akan disemai dan kadar buta huru dapat disifarkan. Jelasnya, melalui hebahan tersebut, murid-murid dapat maklumat tentang penggunaan perkhidmatan pusat sumber dan berminat untuk mengunjungi Pusat Sumber Sekolah.
Selain itu, untuk menggalakkan murid-murid mengunjungi PSS, pihak PSS perlu  mengadakan Program Membaca. Program banyak membaca atau program NILAM harus digiatkan lagi agar murid  akan sentiasa mengunjungi pusat sumber untuk meminjam dan membuat bacaan di pusat sumber.  Program NILAM merupakan satu pendekatan untuk penyuburan tabiat membaca dalam kalangan murid. Hal ini menggalakkan usaha berkekalan murid untuk menanamkan sifat membaca. Di bawah program NILAM, setiap murid perlu merekodkan buku yang dibaca dalam Buku Rekod Membaca Nilam. Guru pula akan mengesahkan rekod bacaan murid. Pengiktirafan diberi kepada murid berdasarkan bilangan buku yang dibaca. Di samping itu, PSS perlu menambahkan bilangan bahan bacaan yang dibaca agar murid juga dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman melalui bahan yang dibaca bak kata pepatah ’jauh berjalan luas pandangan, banyak membaca, menambah pengetahuan’. Tempat yang penuh dengan bahan bacaan tidak lain dan tidak bukan tentulah di pusat sumber sekolah. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan penggunaan kemudahan pusat sumber sekolah dalam kalangan pelajar serta akan dapat meningkatkan bilangan pelajar yang mendapat penghargaan pogram NILAM di peringkat sekolah, daerah, negeri dalam program NILAM akan meningkat. Jika usaha murni ini berkekalan bilangan pelajar cemerlang turut meingkat. Tegasnya, menggalakkan murid-murid mengunjungi PSS amat penting agar fungsi PPS menyerlah di peringkat sekolah sterusnya melahirkan pelajar cemerlang, gemilang dan terbilang.
Bahkan juga, galakan kepada guru menggunakan PSS sebagai tempat pengajaran dan pembelajaran sebagai alternatif penggunaan bilik darjah amat bijak. Pengurusan PSS Sekolah dan pentadbir sekolah perlu menjadikan PPS sebagai tempat guru untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran kerana PPS kondusif untuk tujuan berkenaan. Sebagai sebuah gedung ilmu serta kemudahan untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran lebih kondusif sudah pasti penyebaran dan pengaliran ilmu daripada guru kepada pelajar akan lebih mudah. Hal ini kerana proses pengajaran guru akan lebih mudah dengan peralatan yang disediakan di PPS seperti peralatan paparan hablur cecair (LCD), persekitaran bilik seperti bilik multimedia yang kondusif  kepada pelajar, serta bahan rujukan seperti kamus rujukan serta buku melibatkan pelbagai mata pelajaran, serta adanya pendingin hawa, kemudahan ’wireless fidelity’ ( wifi) memudahkan guru melaksanakan Pengajaran Abad Ke-21 yang menyeronokkan pelajar kerana usaha tangga kejayaan. Sekiranya, proses pengajaran dan pembelajaran cemerlang, pelajar mudah menerima ilmu yang ingin disampaikan oleh guru dan melahirkan pengajaran dan pembelajaran berkesan. Sudah terang lagi bersuluh, galakan kepada guru menggunakan PSS sebagai tempat pengajaran dan pembelajaran sebagai alternatif penggunaan bilik darjah amat bijak untuk melahirkan proses pengajaran dan pembelajaran berkesan.
Kesimpulannya, pusat sumber sekolah perlu menyediakan kemudahan yang terkini dan mengikut peredaran zaman agar pelajar tertarik dengan fungsi PPS sebagai penyebar ilmu. Kemudahan yang disediakan perlu memenuhi keperluan pelajar  dan menarik mereka untuk menggunakan kemudahan yang disediakan. Pusat sumber harus menjadi nadi utama murid dalam proses pembelajaran mereka di sekolah. Sebenarnya, ilmu yang kita miliki hanyalah setitik air jika dibandingkan dengan lautan yang luas. Oleh itu, banyak manfaatkan masa dengan membaca kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih tambahan pula masa itu emas.

SEKIRANYA KARANGAN DI ATAS DIJAWAB UNTUK  SOALAN  BAHAGIAN B DIMENSI MASYARAKAT  ATAU DIMENSI SESUAI TAMBAH SATU ISI LAGI