-->

Type something and hit enter

Pages

Translate


On
Setiap ibu bapa pasti mendoakan anak-anak mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR. Ramai juga ibu bapa yang meletakkan sasaran 6A (jika belajar di SK) atau 8A (jika belajar di SJK). Anak-anak kita juga mungkin meletakkan sasaran itu.

Setelah penat belajar dan selepas usia muda dihabiskan menelaah buku dan membuat latihan, pasti mempunyai impian bahawa segala hasil usaha gigih bakal membuahkan hasil.

Beberapa hari lepas, saya menyoal calon UPSR 2016 saya - apakah perasaan jika berjaya mendapat 6 A dalam UPSR 2016? Dia menjawab dengan nada penuh gembira - dia akan melonjak gembira sekuat hatinya.

Saya bertanya lagi - apakah perasaan jika tidak mendapat 6A? Dia berkata yang dia akan berasa sedih. Saya cuba sedaya upaya menerangkan kepadanya bahawa tidak mendapat 6A bukan bererti dia kurang cerdik. Tidak bermaksud dia gagal. Tidak bermaksud semua hasil usaha gigihnya hanya sia-sia.

Hari keputusan UPSR selalunya merupakan hari yang cukup komunal. Ibu bapa mungkin hadir ke sekolah. Kawan-kawan anak-anak kita juga akan berada di sana. Jiran tetangga dan sanak-saudara kita juga akan bertanya.

Banyak sekolah yang menjemput satu persatu calon yang berjaya mendapat 6A ke atas pentas. Yang dimurahkan rezeki, mendengar nama mereka dipanggil untuk naik ke pentas merupakan saat yang cukup manis.

Tetapi bagi pelajar yang tidak dipanggil ke atas pentas, mungkin perasaan kecewa dan sebak bakal menyelubungi mereka. Ibu bapa yang meletakkan sasaran 6A juga mungkin berasa sangat kecewa.

Tahun ini, terdapat kertas Penulisan Bahasa Inggeris. Tiada siapa yang tahu bagaimana nanti keputusan anak-anak kita. Penulisan Bahasa Melayu juga agak sukar berbanding tahun lepas. Pemahaman Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris juga berformat baharu dan kita tidak pasti 100% yang anak-anak kita akan cemerlang. Sebaik manapun Bahagian A pemahaman mereka - kita tidak tahu sama ada jawapan mereka di Bahagian B tepat dengan skema permarkahan.

Kertas Matematik Bahagian B juga tahun ini tidak seperti Kertas 2 Matematik tahun lepas. Kertas Sains pula, pada pendapat saya, sangat sukar.

Seorang ibu di kumpulan ini pernah menulis pada hari peperiksaan UPSR 2016 tamat - semasa anak beliau menduduki UPSR 2014 - beliau agak yakin bahawa anak beliau akan mendapat keputusan cemerlang. Tetapi pada tahun ini, beliau tidak mampu menjangka bilangan A yang bakal diperoleh anak beliau yang menduduki UPSR 2016.

Perasaan ini mungkin bukan perasaan asing. Jika slip UPSR menunjukkan 3A dan 3B - kita mungkin tidak tahu di mana salah anak-anak kita. Jika slip menunjukkan 6A - mungkin kita menarik nafas lega. Hakikatnya, keputusan anak-anak kita pada tahun ini agak sukar diramal.

Justeru, walaupun keputusan UPSR masih 6 minggu lagi, wajarlah kita melatih anak-anak kita dan diri kita sendiri untuk menerima keputusan UPSR dengan seadanya. Ini sangat penting kepada pelajar-pelajar cemerlang yang bakal melihat kawan-kawan mereka melonjak kegembiraan pada hari tersebut.

Selain itu, sewajarnya pelan B dan pelan C juga dicatur bagi ibu bapa dan anak-anak yang mempunyai impian melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh atau sekolah elit negara. Pelan B dan Pelan C seharusnya dibangkitkan kepada anak-anak supaya mereka tidak terlalu kecewa jika gagal mendapat 6A.

Ramai anak kita telah bertungkus-lumus belajar. Mereka mungkin mempunyai impian besar. Kita seharusnya menyuntik sedikit persedian emosi supaya jika slip keputusan UPSR tidak menunjukkan AAAAAA - hati anak-anak tidak akan terlalu kecewa.

Semoga hari keputusan UPSR 2016 merupakan hari yang cukup menggembirakan kepada anak-anak kita. Jika tidak, semoga mereka menganggap rezeki tidak berpihak dan tidak terlalu kecewa.

Sumber: Grup FB (Bukannamasebenar/UPSR2016)
Back to Top