LATAR BELAKANG DASAR LUAR MALAYSIA
|
Soalan : Jelaskan latar belakang dasar luar Malaysia.
Malaysia
mempunyai dasar luarnya yang tersendiri iaitu berbaik-baik dengan semua
negara. Matlamat dasar luar yang ingin dicapai oleh Malaysia ialah
untuk menjamin keselamatan rakyat dan negara, memelihara kepentingan
nasional dan mengekalkan kedaulatan negara, menggalakkan pembangunan dan
kemajuan ekonomi serta mengekalkan keamanan sejagat melalui kerjasama
antarabangsa. Selain itu, matlamat dasar luar Malaysia adalah untuk
menjadi warga global yang bertanggungjawab dan peka terhadap usaha
memupuk kesejahteraan dunia.
Malaysia
melaksanakan dua bentuk hubungan luar dengan negara-negara lain, iaitu
hubungan bilateral dan hubungan multilateral. Hubungan bilateral merujuk
kepada hubungan terus dengan negara-negara tertentu. Contohnya,
hubungan dengan negara jiran termasuklah Singapura, Indonesia, Thailand
dan Vietnam. Selain itu, hubungan luar juga diadakan dengan negara Asia
yang lain, Amerika Latin, Afrika, Asia Barat serta negara maju seperti
Britain dan Amerika Syarikat.
Hubungan
multilateral pula merujuk kepada hubungan dalam bentuk kumpulan dan
pertubuhan seperti Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN),
Komanwel, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara
Berkecuali (NAM) dan sebagainya.
MATLAMAT DASAR LUAR
|
Soalan : Jelaskan matlamat dasar luar Malaysia.
Matlamat
dasar luar yang ingin dicapai oleh Malaysia ialah untuk menjamin
keselamatan rakyat dan negara. Contohnya, Malaysia menjalin hubungan
negara negara Komanwel terutamanya Britain, Australia dan New Zealand
untuk mendapatkan bantuan ketenteraan bagi menghadapi ancaman komunis
semasa mencapai kemerdekaan.
Dasar
luar Malaysia juga bertujuan untuk memelihara kepentingan nasional.
Contohnya, Malaysia menjalinkan hubungan baik dengan semua negara
melalui dasar berkecuali kerana Malaysia mengamalkan pasaran bebas.
Malaysia juga menjalin hubungan dengan negara-negara lain yang
mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi. Ini adalah kerana pemimpin
Malaysia mempunyai hak menjaga kepentingan negara dengan menentukan hala
tuju pemerintahan negara kita.
Selain
itu, matlamat dasar luar negara ialah menjaga kedaulatan negara.
Contohnya, Malaysia menjain hubungan baik dengan negara serantau melalui
pertubuhan ASEAN. Bersama-sama negara ASEAN, Malaysia mengisytiharkan
rantau Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN)
bagi menghalang penglibatan kuasa luar yang boleh menjejaskan kedaulatan
negara.
Malaysia
menjalinkan hubungan luar kerana hendak menggalakkan pembangunan dan
kemajuan ekonomi negara. Contohnya, Malaysia menjalankan dasar
berbaik-baik dengan Britain dan Amerika kerana kita mengharapkan negara
tersebut sebagai pembeli utama bijih timah dan getah negara kita.
Tambahan pula, negara tersebut merupakan pelabur utama dalam bidang
perladangan dan perindustrian di negara kita. Malaysia juga menjalankan
Dasar Pandang ke Timur yang menjadikan Jepun dan Korea sebagai model
pembangunan ekonomi Negara.
Selain
itu, matlamat dasar luar Malaysia adalah untuk memupuk kesejahteraan
dunia. Contohnya, Malaysia berpegang kepada prinsip menghormati
kedaulatan negara lain. Malaysia mengutuk Israel yang mencabul
kedaulatan negara Palestin. Malaysia tidak menjalinkan hubungan dengan
negara tersebut. Malaysia juga menghormati prinsip hak
asasi manusia. Malaysia memutuskan hubungan dengan negara Afrika Selatan
selagi negara tersebut terus mengamalkan dasar apartheid.
BENTUK HUBUNGAN DASAR LUAR MALAYSIA
|
Soalan : Jelaskan bentuk dasar luar Malaysia.
Malaysia
melaksanakan dua bentuk hubungan luar dengan negara-negara lain, iaitu
hubungan bilateral dan hubungan multilateral. Hubungan bilateral merujuk
kepada hubungan terus dengan negara-negara tertentu. Contohnya,
hubungan dengan negara jiran termasuklah Singapura, Indonesia, Thailand
dan Vietnam. Selain itu, hubungan luar juga diadakan dengan negara Asia
yang lain, Amerika Latin, Afrika, Asia Barat serta negara maju seperti
Britain dan Amerika Syarikat.
Hubungan
multilateral pula merujuk kepada hubungan dalam bentuk kumpulan dan
pertubuhan seperti Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN),
Komanwel, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara
Berkecuali (NAM) dan sebagainya.
ASAS / FAKTOR PENGGUBALAN DASAR LUAR
|
Soalan : Terangkan faktor yang mencorakkan dasar luar Malaysia.
Soalan : Terangkan faktor yang mempengaruhi asas penggubalan dasar luar Malaysia.
i. Faktor Sejarah
Asas
penggubalan dasar luar Malaysia ialah faktor sejarah. Malaysia
dahulunya pernah diperintah oleh Kesultanan Melayu Melaka. Oleh itu,
Malaysia meneruskan tradisi menjalin hubungan dengan negara yang pernah
berdagang dengan Kesultanan Melayu Melaka. Contohnya, negara-negara
Arab, India, China dan Siam serta negara-negara di Kepulauan Melayu
seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.
Malaysia pernah dijajah oleh British. Oleh
itu, Malaysia menyertai pertubuhan Komanwel untuk menjalin hubungan
dengan Britain dan negara Komanwel lain seperti Australia dan New
Zealand.
Setelah
mencapai kemerdekaan, Malaysia diancam oleh Parti Komunis Malaya (PKM).
Hal ini menyebabkan Malaysia mengamalkan dasar pro-Barat untuk
membendung ancaman komunis kerana Malaysia belum mempunyai keupayaan
pertahanan.
ii. Faktor Ekonomi
Penggubalan dasar luar Malaysia juga berasaskan faktor ekonomi. Malaysia mengamalkan pasaran bebas. Oleh itu, Malaysia menjalin hubungan dengan negara lain untuk memajukan ekonomi.
Malaysia
adalah negara pengeluar utama bijih timah dan getah. Oleh itu, Malaysia
berbaik dengan Britain dan Amerika untuk memasarkan bijih timah dan
getah.
Malaysia
mengharapkan pelaburan asing untuk memajukan ekonomi. Oleh itu,
Malaysia mengharapkan pelaburan modal dari Amerika dan Britain. Malaysia
mengamalkan Dasar Pandang ke Timur untuk menggalakkan pelaburan dari
negara-negara di Timur terutama Jepun dan Korea .
Malaysia perlu menceburi pelaburan di luar negara. Oleh itu, Malaysia menjalin hubungan luar dengan Negara Membangun dan Negara Islam untuk mencari peluang pelaburan
iii. Faktor Politik
Selain
itu, penggubalan dasar luar Malaysia dipengaruhi oleh faktor politik.
Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi Berparlimen. Oleh
itu, Malaysia menjalin hubungan dengan negara lain yang mengamalkan
sistem pemerintahan yang sama.
Malaysia
berpegang kepada prinsip menghormati kedaulatan negara lain. Oleh itu,
Malaysia menyokong Palestin bagi mewujudkan keamanan di rantau Asia
Barat. Malaysia tidak menjalin hubungan dengan Israel keranan menceroboh
kedaulatan negara Palestin. Selain itu, Malaysia berpegang teguh kepada
prinsip dan Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi memelihara
keamanan dunia. Oleh itu, Malaysia menyokong semua resolusi yang telah
diambil oleh PBB bagi mencapai dan mengekalkan keamanan dunia.
iv. Faktor Geografi
Penggubalan dasar luar Malaysia adalah berasaskan faktor geografi.
Malaysia terletak di rantau Asia Tenggara. Malaysia mempunyai kedudukan
yang strategik. Perairannya menjadi laluan utama kapal-kapal
perdagangan di dunia. Demi untuk menjaga keselamatan negara, Malaysia
menjalinkan hubungan dengan negara-negara ASEAN. Contohnya Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Brunei.
v. Faktor Demografi
Majoriti
rakyat Malaysia beragama Islam. Oleh itu, Malaysia Menjalin hubungan
diplomatik dengan negara-negara Islam. Malaysia membenci penindasan
agama. Oleh itu, Malaysia tidak mengadakan hubungan dengan Israel yang
menindas rakyat Palestin yang beragama Islam.
Malaysia komited terhadap perpaduan dan hak asasi manusia. Malaysia mengamalkan dasar persamaan taraf antara manusia. Oleh itu, Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Afrika Selatan yang mengamalkan Dasar Apartheid.
PERKEMBANGAN DASAR LUAR MALAYSIA
|
Soalan : Terangkan perkembangan dasar luar Malaysia dengan mengambil kira perubahan kepimpinan negara.
i. Dasar Luar Tahap Pertama (1957 – 1970)
Dasar
luar Malaysia pada tahap pertama ialah dasar pro- Barat yang
antikomunis serta dasar berbaik-baik dengan negara jiran dan Komanwel.
Dasar luar tersebut dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman.
Dasar luar berkenaan dilaksanakan disebabkan ancaman komunis di negara Asia
Tenggara dan dalam negara. Oleh itu, Malaysia memerlukan bantuan
pertahanan daripada negara-negara Komanwel terutama Britain, Australia
dan New Zealand. Bagi menyekat pengaruh komunis, Malaysia telah
menandatangani Perjanjian Pertahanan Inggeris-Tanah Melayu (AMDA) pada
tahun 1956. Mengikut perjanjian itu, pihak British akan memberikan
bantuan kepada Malaysia jika diserang oleh mana-mana negara.
Di
samping itu, Malaysia menghadapi krisis dengan negara jiran selepas
Malaysia mencapai kemerdekaan. Contohnya konfrontasi dengan Indonesia
(1963 – 1965), terputusnya hubungan dengan Filipina (1963 – 1965) dan
keluarnya Singapura daripada Malaysia (1965). Oleh itu, Malaysia
mengamalkan dasar berbaik-baik dengan negara jiran. Usaha memelihara
hubungan dengan negara jiran dibuat melalui perjanjian. Malaysia
menandatangani perjanjian menubuhkan Pertubuhan Negara-Negara Asia
Tenggara (ASA) bersama-sama Thailand dan Filipina. menubuhkan MAPHILINDO bersama Filipina dan Indonesia serta menubuhkan ASEAN bersama Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura.
Dasar
pro-Barat juga disebabkan Malaysia terpaksa bergantung kepada Britain
dalam menjaga kepentingan ekonomi negara ini. Ini adalah kerana Malaysia
merupakan anggota blok sterling yang menjalankan urusan perdagangan
dalam nilai mata wang pound sterling. Malaysia juga masih memberikan
tumpuan kepada bijih timah dan getah dengan mengharapkan sepenuhnya
permintaan daripada Britain. Pelabur Britain pula menguasai pelaburan
yang besar dalam bidang perladangan dan perindustrian di Malaysia.
ii. Dasar Luar Tahap Kedua (1972 – 1981)
Dasar
luar Malaysia pada tahap kedua ialah dasar berkecuali dan berbaik-baik
dengan semua negara. Dasar luar tersebut dilaksanakan oleh Tun Abdul
Razak (1972 – 1976) dan Tun Hussein Onn (1976 – 1981).
Perubahan
dasar ini disebabkan kurangnya peranan yang dimainkan oleh AMDA dan
kurangnya pengaruh Britain di Timur. Perubahan dasar ini juga disebabkan
pergolakan di Vietnam yang melibatkan Amerika Syarikat dan China. Dalam
mencapai matlamat dasar luar tersebut, Malaysia Malaysia telah mengisytiharkan konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali bersama-sama dengan anggota ASEAN.
Malaysia mengamalkan dasar berkecuali dan berbaik-baik dengan semua negara kerana hendak mengatasi masalah pelarian Vietnam di Malaysia. Untuk menyelesaikan masalah pelarian Vietnam, Malaysia mengambil langkah menjalin hubungan dengan negara berfahaman komunis. Contohnya China, Jerman Timur, Korea Utara, Vietnam Utara dan Mongolia.
iii. Tahap Ketiga (1981 – 2003)
Dasar
luar Malaysia pada tahap ketiga mengekalkan dasar tahap kedua tetapi
memberikan penekanan kepada kepentingan ekonomi. Dasar luar tersebut
dilaksanakan oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad (1981 – 2003).
Dasar luar ini dilaksanakan kerana kepentingan ekonomi yang berkaitan dengan isu-isu perdagangan, pelaburan dan pembangunan dalam kalangan negara membangun.
Dalam
mengamalkan dasar tersebut, Malaysia mengadakan hubungan lebih erat
dengan negara ASEAN untuk menyelesaikan krisis Vietnam dengan Kemboja.
Kerajaan Malaysia memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur dengan
menjadikan Korea Selatan dan Jepun sebagai model pembangunan negara.
Melalui dasar itu, kerajaan menggalakkan rakyat mengamalkan nilai-nilai
baik untuk membina budaya kerja bersungguh-sungguh dalam kalangan rakyat
Malaysia. Kerajaan Malaysia mempertingkatkan hubungan dua hala dengan
negara-negara Afrika, Amerika Selatan, Caribbean dan Pasifik Selatan.
Dalam hubungan dua hala itu, kerajaan membawa misi perdagangan dalam
setiap lawatan Perdana Menteri. Malaysia menandatangani perjanjian
perdagangan dua hala yang menguntungkan kedua belah pihak. Kerajaan
Malaysia menjalin hubungan perdagangan dengan semua negara maju dan
Dunia Ketiga. Kerajaan memperluaskan kerjasama ekonomi melalui EAEC dan
ASEAN+3.
RASIONALNYA DASAR LUAR MALAYSIA BERUBAH MENGIKUT PEREDARAN MASA
|
Soalan : Apakah
rasionalnya Malaysia mengamalkan dasar luar yang sentiasa berubah
mengikut perubahan kepimpinan serta perubahan politik dan ekonomi global
?
Soalan : Mengapa dasar luar Malaysia sentiasa berubah mengikut perubahan politik dan ekonomi global ?
Dasar
luar Malaysia sentiasa berubah dengan mengambil kira perubahan keadaan
politik semasa. Selepas negara kita mencapai kemerdekaan, Malaysia
menghadapi ancaman komunis. Oleh itu, Malaysia di bawah pimpinan Tunku
Abdul Rahman mengamalkan dasar pro-Barat yang antikomunis. Ini adalah
kerana Malaysia memerlukan bantuan pertahanan daripada negara-negara
Komanwel seperti Britain, Australia dan New Zealand.
Menjelang
tahun 1970-an, dasar luar Malaysia berubah kepada dasar berkecuali dan
berbaik-baik dengan semua negara. Perubahan dasar luar yang dilaksanakan
oleh Tun Abdul Razak ini adalah disebabkan kurangnya peranan AMDA dan
pergolakan di Vietnam yang melibatkan Amerika Syarikat dan China.
Malaysia juga telah mengisytiharkan konsep Zon Aman, Bebas dan
Berkecuali bersama-sama ASEAN dengan menjalinkan hubungan diplomatik
dengan negara berfahaman komunis seperti China, Jerman Timur.
Selain
itu, dasar luar sentiasa berubah kerana kepentingan ekonomi. Oleh itu,
Dasar luar Malaysia pada tahap pertama lebih bersifat pro-Barat kerana
Malaysia merupakan pengeluar utama bijih timah dan getah. Malaysia
menjalin hubungan baik dengan Britain kerana mengharapkan sepenuhnya
permintaan daripada negara tersebut. Tambahan pula, pelabur Britain
merupakan pelabur utama dalam sektor perladangan dan perindustrian di
Malaysia.
Dasar
luar Malaysia pada tahap ketiga semasa pimpinan Dato’ Seri Dr. Mahathir
lebih memberikan penekanan kepada kepentingan ekonomi. Penekanan
tersebut berkaitan dengan isu perdagangan, pelaburan dan pembangunan
dalam kalangan negara membangun. Oleh itu, Malaysia mengadakan hubungan
yang lebih erat dengan negara-negara ASEAN untuk meningkatkan nilai
perdagangan negara kita. Beliau juga memperkenalkan Dasar Pandang ke
Timur dengan menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai model bagi
membangunkan Malaysia. Dasar ini juga bertujuan menggalakkan pelaburan
dari negara berkenaan ke Malaysia.
Perubahan
dasar luar Malaysia yang menekankan kepentingan ekonomi juga telah
mempertingkatkan hubungan dua hala dengan negara membangun dan negara
Islam. Hal ini bertujuan meningkatkan pasaran barangan Malaysia serta
mengadakan pelaburan di negara berkenaan. Selaras dengan perubahan
tersebut, Malaysia mempertingkatkan hubungan dua hala dengan negara
Afrika, Amerika Selatan, Caribbean dan Pasifik Selatan. Melalui misi
perdagangan, Malaysia telah menandatangani perjanjian perdagangan dua
hala yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.
KEPENTINGAN DASAR LUAR MALAYSIA
|
Soalan : Jelaskan kepentingan dasar luar Malaysia.
Soalan : Bagaimanakah dasar luar Malaysia dapat menjamin kestabilan dan kemakmuran negara ?
Dasar
luar Malaysia yang bersifat pro-Barat serta berbaik-baik dengan negara
Komanwel membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara. Malaysia
mendapat bantuan keenteraan daripada negara Komanwel terutama Britain,
Australia dan New Zealand dalam menghadapi ancaman komunis. Hubungan
baik ini menyebabkan keadaan politik negara stabil dan bebas daripada
ancaman komunis.
Dasar
berbaik-baik dengan Britain dan Amerika menyebabkan ekonomi negara
berkembang pesat. Britain dan Amerika adalah pembeli utama bijih timah
dan getah daripada Malaysia. Dengan hubungan baik itu, Malaysia menjadi
pengeluar utama bijih timah dan getah dunia. Di samping itu, pelabur
dari Britain dan Amerika banyak menanam modal dalam sektor perladangan
dan perindustrian di negara kita. Hal ini menyebabkan kemajuan ekonomi
negara berkembang pesat.
Pada
tahun 1970-an, Malaysia mengamalkan dasar luar berkecuali dan
berbaik-baik dengan semua negara. Dasar Malaysia berbaik-baik dengan
negara blok komunis seperti Soviet Union, China dan Korea Utara berjaya
mengurangkan penglibatan kuasa besar dalam politik di rantau Asia
Tenggara. Keamanan di rantau tersebut memberi peluang untuk Malaysia
memajukan ekonomi negara. Kerjasama ekonomi melalui ASEAN telah memacu
perkembangan ekonomi negara.
Dasar
luar Malaysia pada tahun 1980-an menekankan kepentingan ekonomi. Dasar
tersebut memberikan manfaat kepada perkembangan ekonomi negara. Dasar
Pandang ke Timur yang menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai model
pembangunan ekonomi negara banyak membawa kebaikan. Produktiviti
pengeluaran negara semakin meningkat dan pembangunan dijayakan dengan
pesat. Pembinaan projek mega seperti menara PETRONAS, KLIA, pembinaan
LRT dan lain-lain meletakkan Malaysia dalam era pembangunan yang luar
biasa.
Dasar
luar tahap ketiga juga telah mempertingkatkan hubungan dua hala dengan
Negara Membangun dan Negara Islam. Menerusi lawatan Perdana Menteri ke
negara Afrika, Amerika Selatan, Caribbean dan Pasifik Selatan, Malaysia
menandatangani perjanjian perdagangan dua hala yang menguntungkan
kedua-dua belah pihak. Perjanjian tersebut meningkatkan lagi kemajuann
negara melalui pelaburan luar negara.
Malaysia
menjalin hubungan baik dengan negara ASEAN bagi meningkatkan kemajuan
negara. Malaysia menjalinkan kerjasama ekonomi melalui ASEAN dengan
melancarkan projek baja UREA. Projek tersebut mampu menjana ekonomi
pertanian dengan lebih baik. Malaysia juga berusaha mewujudkan kerjasama
ekonomi antara ASEAN dengan negara Timur iaitu China, Jepun dan Korea
Selatan melalui EAEC dan ASEAN +3
CARA MEMANFAATKAN DASAR LUAR UNTUK KEPENTINGAN NEGARA
|
Soalan : Bagaimanakah Malaysia memanfaatkan dasar luar untuk meningkatkan kemajuan negara ?
Bagi meningkatkan
kemajuan negara, Malaysia telah menjalankan dasar luar yang sentiasa
berubah mengikut keadaan politik dan ekonomi global. Malaysia adalah
pengeluar utama bijih timah dan getah dunia. Bagi menjamin hasil
pengeluaran tersebut mendapat pasaran yang baik, Malaysia mengamalkan
dasar luar bersifat pro-Barat yang menyokong British kerana negara
tersebut merupakan pembeli utama bahan mentah Malaysia.
Sebagai
negara yang baru merdeka, Malaysia memerlukan pelaburan modal untuk
meningkatkan perusahaan perladangan dan perindustrian. Bagi mencapai
matlamat tersebut, Malaysia mengamalkan dasar berbaik-baik Britain dan
Amerika. Hal ini adalah kerana negara tersebut merupakan pelabur utama
dalam perusahaan perladangan dan perindustrian di negara kita.
Menjelang
tahun 1970-an, Malaysia mengubah dasar luar yang bersifat pro-Barat
kepada dasar berkecuali dan berbaik-baik dengan semua negara. Hal ini
adalah kerana Malaysia tidak boleh sentiasa bergantung kepada Britain
dan Amerika untuk memajukan ekonomi negara. Malaysia perlu meluaskan
lagi pasaran hasil negara selaras dengan prinsip mengamalkan pasaran
bebas. Dasar luar yang berasaskan prinsip pasaran bebas ini telah
meningkatkan lagi kemajuan ekonomi negara.
Pada tahun 1980-an, semasa kepimpinan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia mengamalkan Dasar Pandang ke Timur. Dasar ini menggunakan
Jepun dan Korea Selatan sebagai model bagi membangunkan negara
Malaysia. Dasar ini bertujuan menggalakkan rakyat mengambil nilai-nilai
yang baik seperti semangat mencintai negara, kesungguhan dalam pekerjaan
dan etika pengurusan kerja yang baik.
Malaysia
juga telah mempertingkatkan hubungan dua hala dengan Negara Membangun
dan Negara Islam. Menerusi lawatan Perdana Menteri ke negara Afrika,
Amerika Selatan, Caribbean dan Pasifik Selatan, Malaysia menandatangani
perjanjian perdagangan dua hala yang menguntungkan kedua-dua belah
pihak. Perjanjian tersebut meningkatkan lagi kemajuann negara melalui
pelaburan luar negara.
Malaysia
menjalin hubungan baik dengan negara ASEAN bagi meningkatkan kemajuan
negara. Malaysia menjalinkan kerjasama ekonomi melalui ASEAN dengan
melancarkan projek baja UREA. Projek tersebut mampu menjana ekonomi
pertanian dengan lebih baik. Malaysia juga berusaha mewujudkan kerjasama
ekonomi antara ASEAN dengan negara Timur iaitu China, Jepun dan Korea
Selatan melalui EAEC dan ASEAN +3
KEJAYAAN MALAYSIA
MELALUI DASAR LUAR YANG DINAMIK
|
Soalan : Terangkan kejayaan yang dicapai Malaysia melalui pelaksanaan dasar luarnya yang bersifat dinamik.
Soalan : Kemukakan bukti yang menunjukkan dasar luar Malaysia telah menjadikan negara kita dihormati di mata dunia.
Menjelang
kemerdekaan, Malaysia dan rantau Asia Tenggara diancam oleh ideologi
komunis. Ancaman ini boleh menggugat keamanan dan kestabilan politik di
rantau ini. Untuk membendung ancaman tersebut, Malaysia mengamalkan
dasar luar yang bersifat anti-komunis. Malaysia mengamalkan dasar
berbaik-baik dengan negara Komanwel untuk mendapatkan bantuan
ketenteraan daripada Britain, Australia dan New Zealand. Dasar ini
menyebabkan Malaysia dihormati oleh dunia kerana berperanan membendung
ancaman komunis di rantau Asia Tenggara. Negara-negara Asia Tenggara
amat berterima kasih kepada Malaysia atas usaha tersebut.
Dasar
luar Malaysia sentiasa berubah mengikut keadaan ekonomi global. Pada
awal kemerdekaan, Malaysia mengamalkan dasar pro-Barat yang menyokong
Britain dan Amerika. Dasar luar ini telah membawa kemajuan kepada
ekonomi Malaysia. Pelaburan dana syarikat dari Britain dan Amerika telah
menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama bijih timah dan getah
dunia. Malaysia mendapat penghormatan negara lain kerana berjaya
membangun dengan cepat walaupun baru mencapai kemerdekaan.
Malaysia
mengubah dasar luar daripada pro-Barat kepada dasar berkecuali dan
berbaik-baik dengan semua negara. Melalui dasar ini, Malaysia mula
menjalinkan hubungan baik dengan negara komunis seperti China, Korea
Utara, Soviet Union serta Vietnam. Hubungan baik Malaysia dengan negara
blok komunis ini berjaya menangani isu pelarian Vietnam. Kesediaan
Malaysia membenarkan Pulau Bidong, di Terengganu sebagai kem petempatan
pelarian Vietnam telah menghindarkan campurtangan kuasa besar dalam
politik di Asia Tenggara. Usaha Malaysia ini sangat dihormati dunia
kerana bukan sahaja berjaya mengekalkan keamanan di rantau Asia Tenggara
sebagai rantau berkecuali malah mampu menyelesaikan isu kemanusiaan
sejagat.
Penghormatan dunia terhadap sikap berkecuali Malaysia menyebabkan negara kita dipanggil
menyertai pasukan pendamai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk
menamatkan Perang Saudara di Congo dan mewakili pasukan pengaman PBB
bagi membantu Namibia mencapai kemerdekaan. Malaysia juga dipilih
menyertai pasukan pemerhati bagi meleraikan pergolakan Iran-Iraq dan
Kampuchea serta menjadi pasukan pengaman ke Bosnia.
Malaysia
menjunjung amalan yang toleran dalam hubungan kaum. Malaysia memutuskan
hubungan dengan Afrika Selatan kerana mengamalkan dasar apartheid.
Malaysia tidak menjalinkan hubungan dengan Israel kerana menceroboh
Palestin dan memberikan layanan buruk terhadap orang Islam. Tindakan
Malaysia telah membuka mata dunia terhadap hak asasi manusia. Atas usaha
itu, dasar apartheid dihapuskan dan kebajikan rakyat Palestin mendapat
perhatian dunia.
Hubungan
luar bersifat multilateral dapat dilihat melalui penglibatan Malaysia
dalam pertubuhan antarabangsa. Hubungan Malaysia dengan negara Komanwel
menyebabkan Malaysia dipilih menjadi tuan rumah bagi persidangan
Commonwealth Head of Governments Meeting (CHOGM). Dalam persidangan
tersebut, anggota Komanwel telah mengisytiharkan Deklarasi Langkawi 1989
yang berkaitan dengan tanggungjawab negara-negara anggota dalam
mengawal dan mengatasi masalah pencemaran.
Kesimpulannya¸
dasar luar yang terbentuk membawa kejayaan-kejayaan seperti keamanan
dunia terhasil hasil daripada penggubalan dasar berbaik-baik dengan
negara luar. Situasi ini juga dapat mengharumkan nama baik negara kita
hasil daripada sumbangan-sumbangan yang Malaysia berikan pada peringkat
antarabangsa.
PERLUNYA MENJALIN HUBUNGAN BAIK DENGAN SEMUA NEGARA
|
Soalan : Mengapakah Malaysia mengamalkan dasar berkecuali dan menjalinkan hubungan baik dengan semua negara tanpa mengira ideologi ?
Malaysia
mengamalkan dasar berbaik-baik dengan negara luar tanpa mengira
ideologi. Malaysia mengambil langkah tersebut kerana Britain mula
mengurangkan pengaruhnya di Timur. Tambahan pula AMDA (Anglo – Malaysian
Defence Treaty) semakin kurang berperanan. Langkah Malaysia
berbaik-baik dengan negara blok komunis dapat mengimbangkan pengaruh
kuasa besar di Asia Tenggara. Oleh itu, situasi tersebut dapat
mewujudkan kestabilan politik di Malaysia. Selain itu, Malaysia dapat
meningkatkan perkembangan ekonomi dengan lebih baik. Hasil komoditi
Malaysia dapat dipasarkan ke semua negara dan tidak lagi hanya
bergantung kepada Britain dan Amerika semata-mata.
Malaysia tidak mahu memihak kepada mana-mana blok dunia. Malaysia telah mengisytiharkan konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali bersama-sama dengan anggota ASEAN. Perubahan dasar ini disebabkan pergolakan di Vietnam yang melibatkan Amerika Syarikat dan China. Malaysia hendak mengatasi masalah pelarian Vietnam di Malaysia. Untuk menyelesaikan masalah pelarian Vietnam, Malaysia mengambil langkah menjalin hubungan dengan negara berfahaman komunis. Contohnya China, Jerman Timur, Korea Utara, Vietnam Utara dan Mongolia.
Malaysia
menjalinkan hubungan baik dengan negara Timur seperti China, Jepun dan
Korea Selatan untuk meningkatkan perkembangan ekonomi negara. Dasar
Pandang ke Timur yang menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai model
pembangunan ekonomi negara telah berjaya meningkatkan budaya kerja dan
produktiviti pengeluaran negara.. Pelabur dari Korea Selatan dan Jepun
telah menjayakan pembinaan projek mega seperti pembinaan menara
PETRONAS, lapangan terbang KLIA, pembinaan LRT serta perusahaan
automobil.
Malaysia
menjalin hubungan dengan Negara Islam dan Negara Membangun untuk
meningkatkan pasaran barangan Malaysia serta mengadakan pelaburan di
negara berkenaan. Selaras dengan perubahan tersebut, Malaysia
mempertingkatkan hubungan dua hala dengan negara Afrika, Amerika
Selatan, Caribbean dan Pasifik Selatan. Melalui misi perdagangan,
Malaysia telah menandatangani perjanjian perdagangan dua hala yang
menguntungkan kedua-dua belah pihak.
Malaysia
menjalin hubungan baik dengan semua negara kerana hendak memperluaskan
skop kerjasama ekonomi bagi rantau sebelah sini. Malaysia juga hendak
mengurangkan dominasi kuasa Barat terhadap ekonomi di rantau Asia
Tenggara. Kerjasama tersebut dinamakan Perundingan Ekonomi Asia Timur
atau East Asia Economic Caucus (EAEC). EAEC melibatkan kerjasama ASEAN
dengan China, Jepun dan Korea. Malaysia bersama-sama negara ASEAN juga
mewujudkan kerjasama ekonomi tidak rasmi antara negara ASEAN dengan
negara Timur . Kerjasama ini diadakan melalui konsep ASEAN + 3.
BENTUK HUBUNGAN LUAR MALAYSIA PADA MASA HADAPAN
|
Soalan : Bagaimanakah bentuk dasar luar Malaysia pada masa akan datang ?
Malaysia
juga akan terus mengekalkan dasar berkecuali dan berbaik-baik dengan
semua negara tanpa mengira ideologi. Malaysia akan terus mengamalkan
dasar berbaik-baik dengan Britain dan Amerika. Hal ini bertujuan menjaga
kepentingan ekonomi Malaysia kerana negara tersebut merupakan pelabur
terbesar dalam sektor perladangan dan perindustrian di negara kita.
Namun, Malaysia akan mengambil pendirian tidak menyokong penglibatan
negara tersebut di negara lain. Contohnya penglibatan Amerika di Iraq,
Iran dan lain-lain.
Malaysia
akan mengamalkan dasar mementingkan keamanan. Malaysia akan terus
menyokong prinsip aman, bebas dan berkecuali yang dipersetujui oleh
negara anggota ASEAN. Malaysia bersama negara ASEAN yang lain telah
mengisytiharkan rantau Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan
Berkecuali (ZOPFAN). Usaha tersebut dapat mengelakkan campur tangan
politik oleh kuasa besar di Asia Tenggara. Dengan itu, keamanan dan
kestabilan politik dapat diwujudkan di rantau Asia Tenggara.
Malaysia
meneruskan dasar luar yang boleh memberi kepentingan ekonomi. Malaysia
akan meneruskan Dasar Pandang Ke Timur dengan menjadikan Jepun dan Korea
Selatan sebagai model untuk membangunkan negara. Kemasukan modal dari
negara tersebut dapat meningkatkan pembangunan infrastruktur dan
perindustrian di negara kita. Di samping itu, ia membuka peluang
pekerjaan kepada rakyat negara ini. Dengan itu, wawasan untuk membina
negara maju berpendapatan tinggi akan tercapai.
Malaysia
juga terus komited menjalinkan hubungan bilateral dan multilateral
dengan negara serantau melalui pertubuhan ASEAN. Malaysia akan
meneruskan kerjasama dalam projek perindustrian seperti projek baja UREA
dahulu. Kerjasama ekonomi akan diperluaskan meliputi bidang pertanian,
pelancongan dan sebagainya. Malaysia akan meneruskan kerjasama ekonomi
ASEAN melalui Zon Perdagangan Bebas ASEAN atau ASEAN Free Trade Zone
(AFTA). Di samping itu, Malaysia akan berusaha merealisasikan kerjasama
ASEAN dengan China, Jepun dan Korea melalui Perundingan Ekonomi Asia
Timur atau East Asia Economic Caucus (EAEC) dan ASEAN +3.
Malaysia
terus komited menyokong segala dasar dan prinsip PBB bagi menyelesaikan
pertikaian secara rundingan dan diplomasi. Malaysia akan tarus
memperjuangkan nasib rakyat Palestein. Malaysia akan terus memainkian
peranan menuntut keadilan pasaran bagi Negara Dunia Ketiga.
KESAN DASAR LUAR YANG TIDAK MANTAP
|
Soalan : Jelaskan kemungkinan yang akan berlaku jika Malaysia mengamalkan dasar luar yang bersifat statik.
Sekiranya
Malaysia mengamalkan dasar luar yang tidak mantap, kemungkinan keadaan
ekonomi negara kita tidak berkembang dengan baik. Contohnya, eksport
negara akan berkurangan kerana tidak banyak negara yang
menjalinkan hubungan dagang dengan Malaysia. Hal ini menyebabkan sektor
perusahaan, perladangan dan perkhidmatan mengalami kemerosotan yang
ketara. Peluang pekerjaan sangat terhad. Hal ini akan mengakibatkan
kadar pengangguran yang tinggi dalam negara. Pendapatan negara akan
merosot dan boleh mengakibatkan negara mundur.
Dasar
luar yang bersifat statik menghilangkan keyakinan negara luar terhadap
prestasi negara kita. Dasar luar yang tidak konsisten menyebabkan
keadaan politik negara tidak menentu. Hal ini akan menjejaskan iklim
pelaburan. Pelabur asing kurang berminat untuk melabur di
negara kita kerana bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku. Kekurangan
pelaburan menyebabkan taraf hidup rakyat semakin merosot.
Keadaan
politik negara menjadi tidak stabil mengundang penglibatan kuasa asing
dalam hal ehwal negara kita. Perlumbaan kuasa besar menyebarkan ideologi
mereka boleh menimbulkan huru-hara. Huru-hara ini akan mengancam
kedaulatan negara.
Dasar
luar yang kurang mantap memperlihatkan kepimpinan yang kurang
berwibawa. Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) hilang keyakinan terhadap
kewibawaan pemimpin negara kita sebagai warga global yang
bertanggungjawab dan peka terhadap usaha memupuk kesejahteraan dunia.
Negara kita yang dahulunya sering diberi kepercayaan menganggotai
pasukan pendamai PBB akan terpinggir. Kelantangan suara Malaysia yang
sekian lama memperjuangkan hak asasi manusia menjadi tidak bermakna.
PERLUNYA DASAR LUAR YANG MENEKANKAN KEPENTINGAN EKONOMI
|
Soalan : Mengapakah Malaysia perlu mengamalkan dasar luar yang menekankan kepentingan ekonomi ?
Malaysia
perlu mengamalkan dasar luar yang menekankan kepentingan ekonomi kerana
hendak menggalakkan pelaburan asing ke negara kita. Malaysia perlu
menjalinkan hubungan dengan negara yang boleh menyumbang modal untuk
meningkatkan pembangunan negara. Contohnya, Malaysia menjalin hubungan
baik dengan Britain dan Amerika untuk menggalakkan pelaburan mereka
dalam bidang perladangan dan perindustrian di negara kita. Dengan itu,
sektor perladangan dan perindustrian menyumbangkan pendapatan yang besar
kepada negara.
Malaysia
mengamalkan Dasar Pandang ke Timur untuk menjalinkan hubungan baik
dengan Jepun dan Korea Selatan. Hubungan ini bertujuan menjadikan negara
tersebut sebagai model untuk membangunkan ekonomi negara. Budaya kerja
dan nilai murni dan perkhidmatan menjadi contoh dan amalan kevarah
meningkatkan produktiviti negara. Dengan itu, daya pengeluaran negara
akan meningkat.
Malaysia
menjalinkan hubungan baik dengan China, Jepun dan Korea Selatan demi
untuk kepentingan ekonomi. Bersama-sama dengan negara anggota ASEAN yang
lain, Malaysia berusaha merealisasikan
kerjasama ASEAN dengan China, Jepun dan Korea melalui Perundingan
Ekonomi Asia Timur atau East Asia Economic Caucus (EAEC) dan ASEAN +3.
Malaysia perlu mengurangkan dominasi kuasa Barat terhadap ekonomi di
negara-negara Asia Tenggara.
Malaysia
menjalin hubungan baik dengan Negara Membangun dan Negara Islam demi
untuk kepentingan ekonomi. Dasar luar yang sedemikian perlu dilaksanakan
untuk meningkatkan pasaran barangan Malaysia serta
mengadakan pelaburan di negara berkenaan. Melalui dasar tersebut,
Malaysia mempertingkatkan hubungan dua hala dengan negara Afrika,
Amerika Selatan, Caribbean dan Pasifik Selatan. Melalui misi
perdagangan, Malaysia telah menandatangani perjanjian perdagangan dua
hala yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.
HUBUNGKAIT FAKTOR EKONOMI DENGAN PENGGUBALAN DASAR LUAR MALAYSIA
|
Soalan : Sejauhmanakah faktor ekonomi mempengaruhi dasar luar Malaysia ?
Penggubalan
dasar luar Malaysia dipengaruhi oleh faktor ekonomi. Semasa awal
kemerdekaan, Malaysia perlu memasarkan hasil bijih timah dan getah. Pada
ketika itu, sumber bahan mentah tersebut adalah hasil utama negara.
Pada ketika itu, Malaysia mengamalkan dasar berbaik-baik dengan Britain
dan Amerika Syarikat kerana mereka adalah pembeli utama bijih timah dan
getah negara kita.
Malaysia
mengharapkan pelaburan asing untuk memajukan ekonomi. Malaysia
mengamalkan dasar berbaik-baik dengan Britain dan Amerika Syarikat
kerana pada ketika itu negara tersebut merupakan pelabur utama dalam
sektor perladangan dan perindustrian di negara kita.
Selepas
itu, negara kita mula mengamalkan pasaran bebas untuk menjamin
kestabilan harga bahan mentah di pasaran dunia. Faktor ekonomi tersebut menyebabkan
Malaysia mula membina rangkaian perdagangan dengan negara-negara lain
seperti Amerika Syarikat, Jepun, Singapura dan Jerman Barat. Dasar luar
tersebut bertujuan mengurangkan pergantungan kepada Britain.
Pada
tahun 1980-an, Malaysia mengamalkan Dasar Pandang ke Timur. Malaysia
mengadakan hubungan luar dengan Jepun dan Korea Selatan. Dasar tersebut
dilaksanakan untuk menggalakkan pelaburan modal dari Jepun
dan Korea Selatan. Budaya kerja mereka dijadikan amalan untuk
meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan di negara kita..
Malaysia
ingin mencari peluang pelaburan di luar negara. Hasrat tersebut
mendorong Malaysia menjalin hubungan dengan Negara Membangun dan Negara
Islam. Malaysia mempertingkatkan hubungan dua hala dengan
negara Afrika, Amerika Selatan, Caribbean dan Pasifik Selatan. Melalui
misi perdagangan, Malaysia telah menandatangani perjanjian perdagangan
dua hala yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.
HUBUNGKAIT DASAR LUAR MALAYSIA DENGAN PERPADUAN ANTARABANGSA
|
Soalan : Sejauhmanakah dasar luar Malaysia berjaya mengukuhkan perpaduan masyarakat antarabangsa ?
Dasar
luar Malaysia yang bersifat multilateral berjaya mengukuhkan perpaduan
masyarakat antarabangsa. Hubungan luar Malaysia dengan negara serantau
melalui ASEAN telah mengeratkan hubungan semua negara anggota.
Contohnya, semua negara bersatu hati mengisytiharkan rantau Asia
Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). Hal ini
menyebabkan rantau tersebut bebas daripada campur tangan kuasa luar
dalam hal ehwal politik. Selain itu, negara ASEAN juga bersatu hati
mengadakan kerjasama dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan dan
pendidikan.
Malaysia
juga menjalin hubungan secara multilateral dengan negara bekas tanah
jajahan British melalui pertubuhan Komanwel. Perpaduan negara bekas
tanah jajahan British jelas kelihatan apabila Britain, Australia dan New
Zealand memberikan bantuan ketenteraan kepada Malaysia dalam menghadapi
ancaman komunis. Perpaduan masyarakat antarabangsa lebih jelas
kelihatan melalui penyertaan negara anggota dalam Sukan Komanwel.
Malaysia
juga menjalin hubungan multilateral dengan semua negara melalui
Pergerakan Negara Berkecuali (NAM). Pergerakan ini bertujuan mengelakkan
campurtangan asing dalam hal ehwal sesebuah negara dan menegakkan
prinsip menghormati kedaulatan sesebuah negara. Negara anggota
menunjukkan perpaduan melalui penyelesaian pertelingkahan antara negara
melalui perundingan dan mendokong prinsip menghormati hak asasi manusia.
Selain
itu, Malaysia juga menjalin hubungan multilateral dengan negara Islam
melalui Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) agar dapat mengeratkan
hubungan sesama negara Islam dalam segala bidang. Negara anggota
bersuara dalam satu nada bagi kepentingan umat Islam. Di samping itu,
negara anggota juga bersatu mengekalkan perdamaian antara negara-negara
Islam serta bersama-sama memastikan tempat-tempat suci umat Islam
dihormati dan tidak dicemari.
Malaysia
juga menjalin hubungan bilateral dengan negara luar. Dasar luar
tersebut dapat mewujudkan perpaduan masyarakat antarabangsa. Contohnya,
Malaysia mengukuhkan perpaduan masyarakat antarabangsa dengan menghantar
bantuan perubatan, bantuan kewangan, bantuan menyelamat serta bantuan
barangan makanan dan minuman kepada mangsa Tsunami di Acheh dan gempa
bumi di Jepun.
Dengan
adanya dasar luar Malaysia yang mengutamakan perpaduan, Malaysia pernah
menjadi perantaraan menyelesaikan krisis perang Iran-Iraq,krisis
selatan Filipina dan sebagainya. Selain itu juga bagi mewujudkan
perpaduan dan keamanan dunia,Malaysia memainkan peranan yang penting
dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin mendapatkan semula tanah air
mereka daripada Israel mengikut lunas lunas yang
terkandung dalam piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Keberkesanan dasar luar kita yang mantap dapat dibuktikan dengan
penyertaan tentera kita dibawah panji-panji PBB dengan menghantar
tentera pengaman di Bosnia dan juga Lubnan.
USAHA MENGEKALKAN HUBUNGAN BAIK DENGAN NEGARA LUAR
|
Soalan : Apakah usaha yang dilakukan oleh Malaysia untuk mengekalkan hubungan baik dengan negara luar ?
Dalam
usaha mengekalkan hubungan baik dengan negara luar, Malaysia mengambil
langkah menjalinkan kerjasama ekonomi dalam bidang perdagangan. Malaysia
mengamalkan dasar berbaik-baik dengan semua negara selaras dengan
amalan pasaran bebas. Contohnya, selain mengadakan hubungan perdagangan
dengan Britain, Malaysia juga membina rangkaian perdagangan dengan
negara Amerika, Jepun, China dan Jerman Barat.
Usaha
menjalinkan hubungan baik dengan negara luar dilaksanakan melalui
pemindahan dan pertukaran teknologi. Malaysia melakukan pemindahan
teknologi dan kepakaran dari Jepun dan Korea Selatan melalui dalam pembinaan LRT / MRT, empangan elektrik hidro dan lain-lain. Negara
kita juga melakukan usaha sama antara syarikat multinasional asing
dengan syarikat tempatan. Contohnya, projek usaha sama industri
automobil antara Mitsubishi Corporation dari Jepun dengan Proton dan Kia
Motors dari Korea Selatan dengan NAZA Motors Malaysia.
Malaysia menjalin hubungan baik dengan negara luar melalui hubungan dua hala. Malaysia merupakan Negara yang seringkali mengadakan lawatan rasmi ke Negara lain. Contohnya pada tahun 2005, Yang di-Pertuan Agong(Raja) Sirajuddin Perlis Malaysia dan Raja Permaisuri Agong(Permaisuri) Tengku Fauziah Perlismelawat
Sweden. Pada tahun 2015, Perdana Menteri Malaysia melawat Perancis,
Arab Saudi dan Australia. Hubungan dua hala ini mengeratkan lagi
hubungan politik kedua-dua buah negara.
Malaysia menjalin hubungan baik dengan negara luar melalui mesyuarat atau perbincangan terhadap sesuatu isu yang melibatkan kedua-dua negara. Contohnya,
Malaysia mengadakan sesi perbincangan dengan Filipina berhubung
penguatkuasaan Maritim Negara. Malaysia berganding bahu dengan Filipina
untuk menjayakan Operasi Phillipine-Malaysia (PHIMAL) untuk mencegah
aktiviti pelanggaran undang-undang maritim di persempadanan perairan
Malaysia-Filipina di Laut Sulu. Malaysia juga mengadakan sesi
perbincangan dengan Indonesia berhubung isu pendatang tanpa izin (PATI)
Indonesia ke Malaysia.
Malaysia juga menjalin hubungan dengan negara luar melalui hubungan multilateral. Malaysia mengeratkan hubungan
serantau dengan ASEAN dan pertubuhan antarabangsa yang lain seperti
PBB, OIC, Komanwel. Usaha lain dalam mengekalkan hubungan baik ialah
menghormati kedaulatan negara lain dengan tidak mencampuri hal ehwal
negara tersebut. Contoh di negara yang dilanda peperangan seperti Syria.
Selain
itu Malaysia telah memberi bantuan kepada negara yang ditimpa bencana
dam mengalami kesusahan. Sebagai contohnya Malaysia telah menyalurkan bantuan
kemanusiaan ke bumi Gaza / Palestin.Pemimpin negara telah mengadakan
lawatan rasmi ke luar negara bagi membincangkan permasalahan politik
atau hubungan perdagangan dua hala
Malaysia
juga turut mengadakan rancangan pertukaran televisyen, pertukaran
pelajar .Contoh drama Korea, rancangan dari Hollywood, Bollywood dll
Usaha
lain dalam mengekalkan hubungan baik dengan negara luar ialah dengan
menganjurkan persidangan / sukan bertaraf antarabangsa. Contoh Sukan
Komanwel,
Malaysia juga menganjurkan persidangan menentang pengganas dan mengelakkan
persaingan senjata.Negara kita juga tidak mengeluarkan senjata
nuklear.Selain itu kita manyanjungi dan menghayati kedaulatan negara
lain. Contohnya kita tidak melanggar dan mencerobohi sempadan negara
lain. Malahan Malaysia amat mementingkan hak asasi manusia.
Malaysia juga turut bekerjasama dalam perkongsian budaya antara negara.contohnya Malaysia telah menganjurkan Festival
Makanan, Kraf Tangan dan Budaya Indonesia buat julung kalinya diadakan
di Pulau Pinang dengan matlamat untuk mendedahkah budaya tradisin negara
jiran tersebut di Malaysia.
CABARAN DASAR LUAR DAN CADANGAN MENINGKATKAN KEBERKESANANNYA
|
Soalan : Jelaskan
cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dalam meningkatkan kebekesanan
hubungan dengan negara luar dan cadangkan langkah untuk mengatasi
cabaran tersebut.
Cabaran pertama yang dihadapi oleh negara kita ialah perbezaan ideologi. Hal ini akan mewujudkan jurang
persefahaman yang luas antara negara. Contohnya hubungan Malaysia
dengan negara-negara Islam yang mengamalkan mazhab yang berbeza. Langkah
yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi cabaran tersebut ialah saling
menghormati ideologi serta meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang
agar hubungan dua hala menjadi lebih erat.
Cabaran yang kedua ialah pertelingkahan untuk mengekalkan hak
negara. Contohnya isu Pulau Spratly serta tuntutan Filipina ke atas
Sabah yang tidak pernah reda. Perebutan berkaitan isu tersebut
menyebabkan hubungan kedua-dua negara menjadi renggang. Cabaran ini
boleh diatasi sekiranya negara yang terlibat mematuhi undang-undang yang
diputuskan oleh Mahkamah Dunia. Ini menyebabkan keamanan berjaya
diwujudkan.
Selain itu, Malaysia juga menghadapi cabaran untuk mengekalkan kemajuan ekonomi kerana berlaku kejatuhan nilai
mata wang Malaysia. Ini menyebabkan Malaysia tidak dapat bersaing di
pasaran antarabangsa. Untuk mengatasi cabaran ini, Malaysia perlu
mencari medium perantara lain sebagai alat pertukaran untuk
berurusan.contohnya dinar emas.
Seterusnya
Malaysia menghadapi cabaran dalam menangani masalan kebergantungan
kepada pekerja asing. Keadaan ini menyebabkan kebanjiran tenaga kerja
asing dan peluang untuk rakyat tempat terhad. Bagi menghadapi cabaran keempat,penguatkuasaan undang-undang yang
ketat oleh pihak berkuasa supaya kedatangan dan kebergantungan kepada
pekerja asing dapat di kawal.Pihak kerajaan dan majikan perlu
mengutamakan rakyat Malaysia untuk memenuhi sektor pekerjaan.
Cabaran yang terakhir ialah jenayah merentasi
sempadan.Contohnya penyalahgunaan dadah.Pengedar dadah menjadikan
Malaysia sebagai negara transit dan ada dalam kalangan rakyat Malaysia
yang menjadi keldai dadah. Untuk mengatasinya, kerajaan perlu mengadakan
kawalan ketat di pintu-pintu masuk negara serta mengenakan hukuman yang
ketat kepada pesalah.Selain itu Malaysia juga mengukuhkan
kerjasama dengan pihak berkuasa negara-negara lain agar masalah ini
dapat di atasi tanpa menjejaskan hubungan dua hala tersebut.
IKTIBAR YANG DIPEROLEH
|
Soalan : Nyatakan iktibar yang diperoleh daripada tugasan yang anda lakukan.
Daripada
tugasan yang dilaksanakan, kita boleh mengambil iktibar bahawa
penggubalan dasar luar negara perlu mengambil kira kepentingan politik,
ekonomi dan sosial. Sebagai contohnya, kita telah menyertai pertubuhan
antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Komanwel,
Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam
(OIC) agar mengekalkan kedaulatan dan meningkatkan kemajuan ekonomi
negara.
Kita
harus menjalin hubungan baik dengan semua negara tanpa mengira
ideologi. Sebagai contohnya, kita menjalin hubungan dengan negara blok
kapitalis dan komunis. Hal ini bertujuan untuk mewujudkan perpaduan
masyarakat antarabangsa. Dengan itu, masyarakat dunia dapat hidup dengan
sejahtera.
Kita
hendaklah menghormati kedaulatan negara lain. Sebagai contohnya, kita
tidak boleh menceroboh dan mencampuri urusan politik negara lain.
Tindakan Israel menceroboh negara Palestin adalah tindakan yang tidak
bertanggungjawab. Tindakan tersebut perlu diselesaikan agar kestabilan
politik dunia terpelihara.
Kita
perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu untuk bersaing di
peringkat antarabangsa. Kita harus mencontohi ketokohan para pemimpin
negara yang memberi sumbangan besar dan mewakili negara dalam pertubuhan
antarabangsa. Dasar luar yang diamalkan oleh Malaysia akan
merealisasikan hasrat negara menjadi sebuah negara maju yang aman dan
makmur.
Rakyat
Malaysia harus mengambil iktibar daripada kekacauan dan
ketidakharmonian di negara lain yang bergolak dengan mengukuhkan
perpaduan demi menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara.
KESIMPULAN
|
Soalan : Buat kesimpulan keseluruhan isi yang telah dibincangkan dari sudut berikut :
(a) Pengetahuan yang diperoleh daripada tugasan yang dilaksanakan
(b) Nilai murni dan unsur patriotisme yang dapat dihayati
(c) Harapan menjadikan bangsa dan negara Malaysia yang cemerlang dan gemilang
Daripada
tugasan yang dilaksanakan, kita dapat mengetahui tentang peranan
Malaysia dalam mewujudkan keamanan sejagat. Usaha yang dilakukan oleh
negara kita menyebabkan negara kita dihormati dan dipandang tinggi di
mata dunia. Selain itu, kita juga dapat mengetahui sebab yang mendorong
Malaysia mengamalkan dasar berbaik-baik dengan semua negara. Hal ini
adalah bertujuan untuk meningkatkan kemajuan ekonomi negara.
Kita
hendaklah sentiasa menjalinkan kerjasama agar dapat mewujudkan
kesejahteraan dunia. Kesejahteraan dunia dapat menjamin kedaulatan
negara kita. Seterusnya, kita perlu memupuk perpaduan masyarakat dunia
tanpa mengira bangsa dan agama. Hal ini menyebabkan masyarakat dunia
dapat hidup dengan sejahtera.
Kita
berharap melalui sumbangan Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa,
bangsa Malaysia dapat menunjukkan kepimpinan yang berwibawa. Hal ini
akan menjadikan negara kita dihormati di mata dunia. Selain itu, melalui
hubungan luar yang berasaskan kepentingan ekonomi kita berharap bangsa
Malaysia akan menjadi bangsa yang berjaya dalam bidang ekonomi. Hal ini
menyebabkan negara kita akan mencapai status negara maju berpendapatan
tinggi.