-->

Type something and hit enter

Pages

Translate


On
NOVEL DI SEBALIK DINARA



BAB 1

Farisha seorang gadis yang bertugas sebagai jurutera keselamatan sistem baru sahaja selesai bermesyuarat di NusaJaya. Semasa berada di Lapangan Terbang Senai, Farisha berkenalan dengan Aqram dan secara kebetulan mereka duduk bersebelahan di dalam kapalterbang ke KLIA.  Farisha agak teruja melihat jam tangan yang dipakai oleh Aqram yang  merupakan pusat kawalan elektronik peribadinya. Sesampainya di pintu apartmentnya, Farisha terperanjat sekali lagi apabila melihat pintunya juga telah terpasang “retinal scanner”. Farisha terpaksa menunggu Shida  kawan serumahnya yang sedang bermain skuasy dengan JUJU sebuah android untuk masuk ke apartment mereka. Farisha ingin tidur awal kerana besok dia akan menghadiri satu simposium di Hotel Renaissance. Dalam masa yang sama rupa-rupanya Aqram sudah dapat mencuri cawan minuman Farisha semasa di dalam kapal terbang tadi dan dapat bekerjasama dengan Dr.Maxi untuk mengkaji  DNA Farisha.

BAB 2

Pada keesokan harinya Farisha dan Rosman pembantunya menghadiri sebuah simposium yang  akan dirasmikan  oleh Phillips Young,  Presiden Persatuan Penggodam Antarabangsa. Bermula daripada pendaftaran, pencetakan bahan, sehingga mengatur kedudukan dalam simposium tersebut semua diuruskan oleh robot. Sehinggakan Farisha berasa kecewa kerana Phillips Young menyampaikan ucaptama beliau hanya melalui hologram sahaja. Tanpa diduga Farisha bertemu lagi dengan Aqram. Dalam pertemuan ini Aqram  menyatakan keinginannya mencari  jururunding untuk sebuah projek mini di makmalnya. Dalam pada itu Aqram telah berjaya menerobos fikiran Farisha menggunakan penetrator berupa sebatang pen berwarna perak. Tetapi pendinding WALL yang dimiliki oleh Farisha dapat  menangkis segala maklumat yang dikumpul dalam ingatan Aqram. Sebenarnya Aqram sudah sebulan cuba menjejaki Farisha untuk dibawa ke Soft Lab untuk menyelamatkan Dinara.

BAB 3

Berikutan dengan tawaran Aqram yang ingin mencari jururunding untuk satu projek, Farisha dan Rosman telah menghubungi Aqram. Aqram bersetuju membincangkan perkara itu di Puchong, berjumpa dengan Karl. Karl seorang yang pernah menerima anugerah inovasi peringkat kebangsaan tiga tahun dahulu. Tetapi sebelum berjumpa dengan Karl, Aqram telah memperkenalkan Farisha dan Rosman kepada Dr.Maxi dan beliau telah menawarkan RM1.5 juta kepada mereka berdua untuk tugas menggodam tiga kelompok komputer Soft Lab dalam tempoh empat minggu. Farisha meminta sedikit waktu untuk membuat keputusan. Sebelum pulang Farisha dan Rosman diberi peluang untuk melihat Karl yang terlantar sakit barah. Projek Dinara yang diteraju oleh Karl terhenti kerana dia sakit.

BAB 4

Pada hari Isnin berikutnya, Farisha bersetuju berjumpa dengan Aqram di Soft Lab di Cyberjaya. Farisha menumpang kereta Shida  yang kebetulan ada temu janji dengan Khairul Anwar di Soft Lab juga. Bangunan Soft Lab dilengkapi oleh sistem keselamatan yang canggih termasuklah penggunaan imbasan tangan dan retina mata. Aqram juga menunjukkan beberapa bilik dan ruang di situ yang canggih dan lengkap. Farisha amat teruja, terutamanya apabila dia memasuki pusat data. Itulah Dinara yang memuatkan hampir semua aplikasi dan data. Di sinilah Farisha mendapat kepastian bahawa tugasnya ialah menggodam dan mengukuhkan sistem Dinara.  Pada petangnya barulah tugasan Farisha dan Shida selesai dan mereka pulang bersama-sama. Namun dalam masa yang sama Dr.Maxi, Aqram, dan Khairul Anwar mengadakan perbincangan. Rancangan mereka hampir berjaya mendapatkan Farisha dan Shida untuk berada di Soft Lab untuk menjayakan rancangan mereka. Mereka amat perlukan Shida juga sebagai  physical backup kepada Farisha. Mereka akan mengusahakan untuk memasukkan mikrocip ke dalam tubuh Shida, sebagaimana yang ada dalam tubuh Farisha. Pada malam itu juga Dr.Maxi akan memadamkan beberapa ingatan dan perasaan  Alia sebuah cyborg canggih supaya ia tidak akan mengganggu rancangan yang diatur  untuk Farisha  dan Shida.

BAB 5

Keesokan harinya Farisha dan Shida mula bekerja di Soft Lab.Shida dibawa oleh Khairul Anwar ke Arkib manakala Farisha diberikan taklimat oleh Alia tentang semua kod program yang ada dalam Soft Lab. Pada sebelah petang  Aqram pula memberi taklimat kepada Farisha. Aqram menjelaskan  bahawa Karl yang telah membangunkan teknologi hypervisor di dalam  Dinara, tetapi  Dinara sekarang  sudah diceroboh dan penceroboh telah berjaya menyusupkan satu virus bom jangka yang akan memusnahkan Dinara pada tarikh dan masa yang ditetapkan. Sebenarnya inilah tugas Farisha dengan bayaran RM1.5  dia perlu membersihkan virus bom jangka itu dan mengatasi semua kelemahan Dinara. Pada petang itu juga Farisha mendapat tahu bahawa Rosman tidak dapat bersama-sama dengannya bertugas di Soft Lab kerana dia terpaksa meneruskan  projek di Senawang yang telah menawarkan bayaran dua kali ganda daripada perjanjian awal.Farisha bersetuju. Farisha pulang  dengan kepala yang berat memikirkan tentang Dinara yang sudah diceroboh itu. Ini bererti tugasnya amat berat. Di Soft Lab, Alia pula bertengkar dengan Dr.Maxi kerana banyak data pengetahuan dan perasaannaya telah dipadamkan dan tindakan Alia itu juga menggambarkan dia mempunyai perasaan cemburu dan tidak gemar jika ada perempuan lain ada sebarang hubungan dengan Karl. Pada masa yang sama Khairul Anwar menjelaskan bahawa Rosman tidak akan mengganggu mereka di Soft Lab lagi kerana dia telah mempengaruhi syarikat di Senawang itu untuk membesarkan lagi skop kerjanya. Pada malam itu Farisha mengalami mimpi ngeri sehingga dia terlambat bangun.

BAB 6

Pagi itu Farisha datang lewat sepuluh minit ke Soft Lab. Alia sudah sedia menunggu. Farisha berasa kepalanya berat dan dalam keadaan tidak sedar, Alia telah memasukkan mikrocip ke dalam tubuhnya dan dia dapat  berkomunikasi dengan Karl.Dalam komunikasi itu Karl meminta pertolongan daripada Farisha untuk menyelamatkan Dinara. Oleh kerana tidak dapat mengesan butiran perbualan Farisha dan Karl, Alia menjadi cemburu dan marah. Selepas beberapa ketika Farisha sedar semula dan menjadi lebih segar apabila dia makan pil yang diberikan oleh Aqram. Kerja pada hari itu berakhir dengan perbincangan dan persoalan tentang seorang penyelidik yang bernama Medina yang telah hilang di Soft Lab tanpa dapat dikesan. Hal ini diterangkan oleh Shida melalui kajiannya di Arkib.

BAB 7

Pada sebelah malam Farisha, Shida dan Rosman berjumpa di pejabat Secured Shell. Ketiga-ketiganya meneliti kontrak yang diajukan oleh Soft Lab. Sementara mereka berbincang tiba-tiba Farisha mengalami sakit kepala setelah terlihat suatu cahaya putih memancar ke arahnya. Hasrat meneliti kontrak dibatalkan dan ketiga-tiga mereka bergegas  pulang. Sementara itu mereka diberitahu oleh Uncle Seng yang berada di situ bahawa dia bergegas keluar dari kedai runcitnya kerana terlihat beberapa orang turun tangga pejabat Secured Shell dengan membawa beberapa perkakas besi termasuk suatu barang yang serupa dengan piring tv satelit. Tiada laporan polis dibuat. Dua malam selepas kejadian itu, Farisha telah diundang oleh Abang Azraai utk makan malam di rumahnya. Di sana Farisha bertemu, abang Azraai, kak Mariah dan kedua-dua anak mereka Aina dan Dina. Alangkah terharu bercampur sedih apabila dia mendapat tahu abangnya mengalami sakit jantung dan perkara kedua yang amat mengejutkannya ialah, dirinya adalah anak angkat kepada ibu dan ayahnya. Malam itu Farisha tidak dapat melelapkan mata.



BAB 8

Pada pagi itu sebelum sempat Alia membawa Farisha ke alam bawah sedar, tiba-tiba Farisha pengsan. Doktor dipanggil dan Farisha dibawa ke hospital. Aqram, Khairul Anwar dan Dr.Maxi hairan dan menurut Aqram dia sudah menyiasat latar belakang Farisha sekian lama tiada pula maklumat tentang sebarang penyakit yang membimbangkan. Sebaik saja Farisha dibawa ke hospital, Dr.Maxi, Aqram dan Khairul Anwar bergegas ke Arkib untk berjumpa Shida. Beberapa soalan diajukan kepadanya tentang latar belakang penyakit Farisha. Dr.Maxi ingin tahu sama ada Farisha mengandung.

BAB 9

Dr.Maxi, Aqram dan Khairul Anwar berbincang tentang Plan B, iaitu menggantikan Farisha dengan Shida. Namun kedua-duanya amat berbeza. Lagipun tubuh Farisha telahpun ditanam dengan mikrocip yang membolehkannya berkomunikasi dengan Karl. Karl menggunakan teknologi ini sebagai satu kaedah telepati untuk berhubung dengan Farisha. Pada jam 5.30 petang mereka akan melawat Farisha di hospital. Shida pula pulang ke rumah dan cuba mencari sebarang bukti tentang penyakit Farisha tetapi gagal. Namun Shida terjumpa satu bukti  yang menyatakan bahawa Farisha ialah anak angkat.Apabila Shida dan Rosman melawat Farisha, dia sangat lemah dan terdapat satu benjolan kecil di belakang tengkuknya.Tetapi Farisha menyatakan itu tidak apa-apa. Farisha terlena lagi. Beberapa minit kemudian, Farid dan Amin  datang  ke katil Farisha menggunakan peranti untuk mendapatkan maklumat yang sebelum ini gagal kerana ruang fikiran Farisha dilindungi oleh WALL. Tetapi kali ini meraka berjaya kerana WALL lemah apabila Farisha lemah. Selepasitu Aqram pula mencari maklumat pada badan Farisha menggunakan satu alat sepanjang enam sentimeter. Aqram mendapati alat itu bertukar menjadi warna merah yang menunjukkan tahap kesihatan Farisha tidak memuaskan. Farisha terus lena kerana abangnya Azraai meminta doktor memberi ubat tidur. Azraai juga membohongi doktor bahawa mikrocip di dalam badan Farisha yang kelihatan di CT-scand itu adalah dalam pengetahuan Farisha yang dia sendiri sukarela menjalani satu uji kaji untuk sebuah universiti. Perkara itu juga adalah amanah ibu bapanya supaya semua mikrocip itu mesti kekal dalam tubuh Farisha dan dia mesti berkhidmat di Soft Lab apabila diperlukan. Tengah malam itu Dr.Maxi menyarankan bahawa Shida akan menggantikan tempat Farisha.

BAB 10

Pada pagi itu sedang Shida membaca satu laporan tentang seorang penyelidik bernama Medina di Arkib, dia diminta oleh Alia pergi ke Makmal B. Satu pembedahan untuk menanam mikrocip telah dilakukan ke atasnya. Dia tidak diberitahu. Pada petang itu selepas sedar, apa yang dilakukan ke atas Farisha dilakukan pula ke  atas Shida. Kali ini tindak balasnya lebih teruk lagi. Tetapi Dr.Maxi berdegil dan hanya memberhentikan ujikaji ini selepas  lima minit. Ini akan merosakkan otak seseorang. Dalam masa yang sama, Farisha dalam tidak sedar dapat berkomunikasi dengan seseorang yang menyebut dirinya sebagai mummy. Di suatu tempat yang lain pula, Farid dan Amin berasa amat hairan dan dapat melihat keajaiban teknologi kerana perempuan tua yang menyuruh mereka mengekori dan berbuat sesuatu ke atas Farisha menjerit gembira dan mengatakan dia berjaya menghubungi anaknya Farisha dan dia mengaku dirinya lebih hebat daripada lelaki itu. Farid menyanggah perbuatan perempuan tua itu  kerana sanggup melakukan ujikaji  ke atas anaknya sendiri. Dia tidak peduli. Apa yang dia mahu adalah inginmembuktikan siapa yang benar dan yang lebih hebat daripada ‘lelaki’ itu.  Manakala Shida tetap murung, berada di bilik Farisha, dan tidak pulang ke rumah malam tadi. Aqram gagal menerobos mindanya dan mungkin dia juga telah menerima mikrocip WALL atau kesilapan Dr.Maxi yang tetap meneruskan ujikajinya ke atas Shida. Shida tidak mahu bercakap, makan, atau minum malah menjadi garang seperti kucing liar yang ketakutan.

BAB 11

Apabila sudah boleh bangun dan berjalan Farisha ingin mendapatkan penjelasan daripada abangnya Azraai tentang ibu kandungnya. Azraai menceritakan semua yang dia tahu tentang Farisha. Farisha menjadi adik angkatnya kerana hendak menyelamatkannya daripada dijadikan bahan ujikaji ibunya sendiri. Azraai menerangkan bahawa dia dan beberapa orang lagi telah diamanahkan menjaga keselamatan Farisha. Apabila  Farisha mendedahkan bahawa dia dapat berkomunikasi dengan ibunya, Azraai  kelihatan sangat cemas dan menyatakan bahawa Farisha dalam bahaya dan terus membawa Farisha keluar dari hospital menuju ke arah selatan. Azraai bercakap dengan seseorang dan bersetuju mendapatkan kunci rumah daripada orang tersebut di Perhentian Ayer  Keroh. Dalam pada itu Alia ditugaskan oleh Dr.Maxi untuk mempengaruhi otak Shida.  Akhirnya Dr.Maxi dapat berkomunikasi dengan Karl melalui Shida. Karl mengarahkan supaya Farisha dibawa ke situ kerana virus yang disusup ke dalam Dinara akan diaktifkan yang akan bukan sahaja memusnahkan Dinara tetapi ribuan manusia. Dia perlukan Farisha. Tetapi Farisha sudah meninggalkan Kuala Lumpur. Azraai ingin membawa Farisha ke Kulai, tetapi dalam perjalanan Farisha diculik pula oleh dua orang suruhan ibu Farisha. Dalam masa yang sama di Soft Lab  sesuatu berlaku kepada Shida. Karl bercakap melalui Shida. Karl menyatakan bahawa Khairul Anwar ialah seorang budak pengemis yang bernama Muhammad Irfan yang telah diganti ingatannya. Khairul Anwar sangat berang. Karl juga menyebut bahawa dia memukul seorang wanita sehingga menjadi cacat.





BAB 12

Penculik Farisha, iaitu Amin dan  Farid dalam perjalanan ke Seremban membawa Farisha bertemu dengan ibunya Marilyn. Dalam tidur Farisha dapat dihubungi oleh ibunya tetapi terhenti apabila brek kereta ditekan mengejut lalu Farisha terjaga. Dalam pada itu di SoftLab, Alia berkomunikasi dengan Shida dan memberitahu bahawa wanita cacat itu ialah dirinya yang dipukul oleh Karl kerana dia enggan meninggalkan agamanya dan nama asalnya ialah Rusmina. Perbualan antara Alia dan Shida dapat disaksikan oleh Dr.Maxi, Aqram dan Khairul Anwar. Ketiga-tiga mereka berasa sedih memikirkan akibat yang akan  ditanggung oleh Shida akibat pemindahan maklumat pahit dan ngeri selama 20 tahun oleh Karl ke dalam otak Shida. Berdasarkan laporan yang tersimpan di dalam Dinara Dr.Maxi juga menerangkan kepada Khairul Anwar dan Aqram bahawa ujikaji seperti itu juga pernah dilakukan tetapi gagal dan mangsanya ialah Medina. Dalam pada itu alat pengesan pintar Rosman dapat mengesan arah Farisha dilarikan. Mereka menuju Soft Lab Cyberjaya. Azraai juga menuju ke sana. Apabila tersedar Farisha menjerit-jerit dalam kenderaan yang dipandu oleh Farid dan Amin. Mereka mengherdik Farisha mengatakan dia akan bertemu emaknya yang sudah sangat lama ingin bertemu anaknya itu. Namun Farisha marah dan ketakutan  tidak mahu berjumpa perempuan itu sebaliknya dalam keadaan  kaki dan tangan terikat mahu dia dihantar kepada abangnya Azraai. Farid dan Amin tidak ambil peduli. Manakala di Soft Lab, Shida menyanyi dalam suara yang agak perlahan lagukegemaran Karl. Alia mendengar. Alia berkomunikasi dengan Karl melalui Shida lagi. Alia mendapat tahu bahawa  Karl gagal mendapatkan cinta Medina. Aqram dan Dr.Maxi sependapat mengetahui bahawa Alia tetap berasa cemburu terhadap Karl bekas suaminya walaupun sudah beberapa program dalam mindanya diubah. Mereka juga yakin bahawa Karl telah memindahkan kenangan dan pengalamannya selama 20 tahun ke dalam otak Shida. Dalam pada itu, di sebuah stesen minyak Marilyn menaiki kenderaan yang dipandu oleh Amin. Dia mendekati Farisha, menyatakan bahawa dia amat merindui anaknya itu. Namun Farisha bertegas dan marah lalu menempelak Marilyn yang dia pernah ingin membunuhnya dulu. Suis alat pemintas untuk melemahkan WALL di otak Farisha dihidupkan.

BAB 13

Dr.Haris ialah doktor yang sedang merawat Karl di Puchong. Beliau menyatakan bahawa kesihatan Karl teruk. Namun Dr.Maxi mahu terus menghubungkan fikiran Karl melalui Shida. Dr.Maxi dapat berbual dengan Karl melalui Shida. Melalui Shida Karl bangun  dan bertindak melalui komputer berusaha untuk menghapuskan virus dalam Dinara. Kebijaksanaan ini diterima oleh Karl melalui Farisha yang Karl telah gandakan IQnya 26 tahun dahulu. Dalam masa yang sama Farisha telah berada di situ bersama-sama Marilyn/Medina, dan dua orang pengikutnya. Di sini rahsia terbongkar. Marilyn/Medina ialah ibu Farisha dan Karl ialah bapanya yang telah sanggup mengeksploitasi anaknya sendiri untuk kepentingan kajiannya di SoftLab iaitu mengaktifkan sistem Dinara. Marilyn menjadi musuh kerana Karl telah mensabotaj fikirannya menggunakan fikiran seorang bekas banduan dan akibatnya Marilyn/Medina menjadi separuh gila dan cuba mencekik Farisha. Dr.Maxi dan Aqramlah yang menyelamatkan Farisha dan dibawa kepada keluarga angkatnya iaitu keluarga Azraai. Farisha juga mendapat tahu bahawa Aqram juga adalah cyborg seperti Alia.

BAB 14

Hari ini merupakan hari paling hiba bagi Farisha kerana menghadap seorang insan yang sepatutnya dipanggil ayah. Karl terbaring tidak berkata-kata. Dr.Haris menyatakan bahawa aktiviti otaknya semakin menurun. Semua yang ada di situ masuk bergilir-gilir mendekati Karl. Bermula dengan Aqram, Dr.Maxi, Khairul Anwar, Medina, Alia, dan  akhirnya Farisha. Farisha mengucapkan selamat tinggal kepada ayahnya namun tiada jawapan. Tepat pukul tujuh malam Dr.Haris mengumumkan Karl meninggal dunia. Wasiat terakhir Karl ialah mayatnya dibakar, dan abunya di tabur di Selat Melaka. Upacara dijalankan di Port Dickson. Selepas upacara itu semua orang bercakap-cakap tentang kenangan masing-masing semasa Karl masih hidup.

Tetapi terdapat keanehan dalam diri Shida. Dia pandai berfalsafah seperti Karl. Dalam percakapannya Shida mengajak mereka pulang ke Sort Lab untuk menyelamatkan Dinara. Aqram dapat rasakan bahawa yang berfalsafah dan berkata-kata itu bukan Shida tetapi Karl. Aqram sangat yakin itu ialah Karl.

TEMA



Penggunaan teknologi maklumat yang begitu canggih boleh menguasai pemikiran manusia sehingga hilang rasa kemanusiaan walaupun dalam kalangan ahli keluarga sendiri.



PERSOALAN



1.         Hubungan kekeluargaan hancur akibat mengejar kemajuan teknologi maklumat sehingga sanggup mengeksploitasi anak demi kepentingan visi dan misi seorang bapa.

2.         Hubungan kemanusiaan musnah akibat kerakusan mengejar kecanggihan sistem teknologi maklumat.

3.         Kemusnahan rumah tangga akibat tindakan suami atau bapa yang mementingkan teknologi maklumat.

4.         Hubungan kasih sayang antara manusia walaupun bukan dari darah daging sendiri.







PLOT



Secara keseluruhannya, plot cerpen ini digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:

Permulaan
Plot dimulakan dengan memperkenalkan watak Farisha dan Aqram berkenalan di dalam kapal terbang dari Senai ke KLIA. Seterusnya bertemu lagi dalam sebuah kovensyen berkaitan pengisian komputer



Perkembangan
Aqram menawarkan Farisha menjadi jururunding di Soft Lab tempat letaknya sistem Dinara dengan tujuan membantu menggodam virus demi menyelamatkan Dinara.



Konflik
Konflik berlaku antara Karl dengan Marilyn/Medina kerana Karl mengekspolasi fikirannya  dengan menggunakan seorang banduan bagi tujuan ujikajinya.



Klimaks
Di sini rahsia terbongkar. Marilyn/Medina ialah ibu Farisha dan Karl ialah bapanya yang telah sanggup mengeksploitasi anaknya sendiri untuk kepentingan kajiannya di Soft Lab iaitu mengaktifkan sistem Dinara.



Peleraian
Karl akhirnya meninggal dunia tetapi pemikirannya tersimpan dalam diri Shida. Buktinya dalam percakapan Shida, dia mengajak mereka pulang ke Sort Lab untuk menyelamatkan Dinara. Aqram dapat rasakan bahawa yang berfalsafah dan berkata-kata itu bukan Shida tetapi Karl. Aqram sangat yakin itu ialah Karl.



TEKNIK PLOT



Pemerian
Contohnya :

Farisha berjalan susup-sasap untuk melepasi selautan manusia yang memenuhi balai berlepas Lapangan Terbang SenaI

Pengumuman tentang penerbangan seterusnya ke Kuala Lumpur sedang berkumandang



Suspens
Contohnya ;

“ Pergi! Kau tak sayang aku. Kau cuba bunuh aku dulu. Ini semua muslihat. Pasti kau akan bunuh aku kali ini!”

“ Karl yang siksa aku sehingga aku cacat. Kemudian dia jadikan aku Alia. Nama sebenarku Rosmina”.



WATAK DAN PERWATAKAN



Watak Utama

Farisha
Anak kepada Karl dan Merilyn/Medina.
Anak angkat kepada keluarga Azraai.
Berusia 26 tahun dan jurutera keselamatan sistem teknologi maklumat.
Telah ditanam mikrocip oleh bapanya, Karl.
Sahabat karib kepada Shida dan Rosman.
 Matanya berwarna coklat muda, wajahnya cantik dan bersopan santun.
Bijak selok belok berkaitan sistem maklumat komputer.
Berminat dan menyukai dengan perwatakan Aqram
                                                                                       

Watak sampingan

1.     Karl

Seorang lelaki berbangsa Inggeris dan berkahwin dengan Marilyn atau Medina.
Ayah kepada Farisha.
Memukul Rosmina (isterinya) sehingga cacat dan bertukar menjadi robot.
Membangunkan Dinara.
Memasukkan mikrocip ke dalam badan anaknya Farisha ketika baru lahir.
Pernah menerima agunerah Inovasi Teknologi Maklumat Peringkat Kebangsaan.
Penyelidik dan pencipta sistem Dinara.
Terlantar sakit barah dan akhirnya meninggal dunia. Tetapi pemikiran Karl berada dalam pemikiran Shida, walaupun telah meninggal dunia.
2.         Aqram

Seorang pemuda yang kacak diminati oleh Farisha.
Bertugas di Soft Lab mengendalikan Dinara.
Sahabat baik kepada Dr. Maxi dan Khairul Anwar.
Sering menjejaki Farisha.
Sebuah cyborg.
Bertanggungjawab menjelaskan tentang masalah Dinara kepada Farisha.
Memberi maklumat bahawa penggodam Dinara mempunyai dendam peribadi.
Orang berpengaruh dalam Dinara, juga orang kuat Karl.
Memiliki pen penetrator yang dapat mengesan pemikiran Farisha.


3.     Shida

Teman serumah Farisha dan merupakan kawan akrab.
Ditawarkan bekerja dalam arkib yang terletak di Soft Lab dan sering berurusan dengan Khairul Anwar.
Berjaya mengesan seorang yang bernama Medina bertugas di Soft Lab yang tidak dapat dikesan.
Pengganti fizikal kepada Farisha setelah Farisha tidak Berjaya untuk dijadikan ujikaji di Soft Lab.
Pemikiran Karl akhirnya kekal dalam fizikal Shida.
4.       Dr. Maxi

Bertanggungjawab mengurus Dinara dan bertugas sebagai penyelidik.
Mengarahkan Alia (Rosmina) memasukkan mikrocip dan mempengaruhi pemikiran Farisha dan Shida.
Seorang pakar dalam sistem Dinara berkaitan teknologi maklumat.
Menawarkan Farisha bertugas di Dinara dengan tawaran RM1.5 juta.
LATAR



Latar Masa

Subuh- Selepas subuh pada hari Ahad, beberapa puluh orang pekerja Soft Lab berkumpul di Port Dickson untuk upacara itu.
2.  Pagi – Ketika jam sudah menunjukkan pukul 8.15 pagi, bayang Rosman masih belum kelihatan.

3.   Pagi –Farisha sempat menaiki train yang tiba pada pukul 8.40 pagi dan sampai ke Stesen Bukit Nanas pukul 8.50 pagi.

4.     Hari  – “Mekanik kata petang Ahad atau malam Isnin boleh siap,” jawab Rosman.

5.   Malam –Atas desakan Rosman, Farisha menghantar satu e-mel kepada Aqram pada malam itu juga, selepas selesai sesi bengkel yang ketiga.

6.  Petang –“Pukul 4.30 petang mungkin boleh. Saya bercadang hendak melihat keadaan Farisha sekitar pukul 6.00 petang nanti,” Shida memberikan cadangan.

Latar tempat

Di Lapangan Terbang Senai. Contohnya, Farisha mengerling jam di tangan. Masih ada masa empat puluh minit lagi. Farisha berjalan susup-sasap untuk melepasi selautan manusia yang memenuhi balai berlepas Lapangan Terbang Senai.
Perut pesawat. Contohnya, Akhirnya Farisha memasuki perut pesawat kira-kira sepuluh minit sebelum masa berlepas.
Soft Lab –Tetapi kali ini dia tiada pilihan, terpaksa juga menaiki monorel dan LRT untuk ke pejabat Sort Lab di Cyberjaya.
Rumah Karl- “Kita akan berbincang di rumah Karl salah seorang penyelidik Soft Lab….
Puchong –“Kita boleh naik monorel dan kemudian ambil LRT untuk ke Puchong…..”, terang Aqram.
Nusa Jaya –Masa tu Isha selalu berulang-alik ke Nusa Jaya…
Hospital – Mereka berdua berjalan perlahan-lahan menuju ke arah katil Farisha di Wad 2B…
Port Dickson – Selepas subuh pada hari Ahad, beberapa puluh orang pekerja Soft Lab berkumpul di Port Dickson untuk upacara itu.
Pejabat Secured Shell- Mereka meninggalkan pejabat Secured Shell lalu menuruni tangga perlahan-lahan…
Berhampiran Kawasan Nilai – Mata abang Azraai tidak berganjak dan memandang kenderaan-kenderaan yang bertali arus di hadapannya. Menghampiri kawasan Nilai, dia terpaksa memperlahankan sedikit kereta


Latar Masyarakat



Masyarakat yang mementingkan ilmu pendidikan tinggi dan penggunaan teknologi maklumat yang sangat meluas.
Masyarakat bandar yang tinggal dan melibatkan satu kawasan yang luas dengan teknologi maklumat.
Masyarakat yang maju dalam bidang teknologi maklumat dan robotik.
Masyarakat yang berlumba-lumba untuk mengejar dan menjayakan visi masing-masing berkaitan dengan teknologi maya.
Orang Inggeris yang berada dalam masyarakat Melayu dan cuba menggunakan orang-orang tempatan sebagai bahan ujikaji.
 GAYA BAHASA

Kata ganda
Contohnya : susup-sasap , kira-kira , tiba-tiba , kedua-dua

Bersama-sama  menggaru-garu

Metafora
Contohnya  :dada turun naik, mengangkat bahu (m/s 58), duduk tegak



Hiperbola
Contohnya : angkat-angkat kening.



Simile :
Contohnya : Seperti tidak mahu dilepaskan.

Contohnya : Bagaikan member amaran



Sinkope
Contohnya : saja, kejap, dah , tak,



Personifikasi
Contohnya ; Dia mengganggap ini rezeki yang datang bergolek.

Contohnya ; …hanya bumi dari radio teksi yang menyulam keheningan.



Kata pinjaman
Contohnya :

Bahasa Inggeris - retinal scanner, penetrator, physical backup, hyperyisor.

NILAI



Nilai kasih sayang.
Contohnya : Medina/Marilyn dan Karl sentiasa berusaha mencari anak Farisha.

Nilai bertanggungjawab:
Contohnya : Dr. Maxi bertanggungjawab dalam mengendalikan sistem Dinara.

Nilai ketabahan:
Contohnya Farisha begitu tabah menhadapi pelbagai dugaan dalam percubaan menculiknya.

4.  Nilai keberanian:

     Contohnya : Karl begitu berani memasukkan mikrocip ke dalam badan anaknya.



PENGAJARAN



Kita hendaklah menyayangi sesama insan dan member kebebasan hak kepada mereka untuk menjalani kehidupan seperti manusia biasa.
Kita hendaklah sabar menghadapi tekanan dalam hidup dan cuba berusaha untuk menyelesaikan masalah yang timbul.
Kita mestilah bertanggungjawab sebagai seorang insan di dunia ini, jangan mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan hak orang lain, terutamanya ahli keluarga kita.
Back to Top