-->

Type something and hit enter

Pages

Translate


On
 Panduan Menjawab Soalan Kertas 2 dan Kertas 3 Sejarah SPM

Di dalam entri ini saya ingin berkongsi panduan menjawab soalan Sejarah SPM. Panduan ini lebih kepada panduan menjawab Kertas 2 (mengandungi dua bahagian iaitu soalan struktur dan esei) dan Kertas 3. Saya telahpun memberikan panduan ini kepada pelajar-pelajar di sekolah saya dan berharap agar perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu calon-calon SPM yang lain.

Secara amnya kertas peperiksaan Sejarah terbahagi kepada 3 kertas :

1. Kertas 1 (1249/1)
Soalan Objektif 40 soalan
Masa menjawab 1 jam
Markah kertas 1 40 markah (pemberatan 30%)

Sila baca entri Kata Kunci / Keyword Kertas 1 Sejarah SPM

2. Kertas 2 (1249/2)
Bahagian A : Soalan Struktur 4 soalan (1 soalan 10 markah)
Bahagian B : Soalan Esei 7 soalan  - jawab 3 soalan sahaja (1 soalan 20 markah)
Masa menjawab 2 jam 30 minit
Markah Kertas 2 100 markah (pemberatan 50%)

3. Kertas 3 (1249/3)
Masa menjawab 3 jam
Markah kertas 3 100 markah (pemberatan 20%)

Sila rujuk entri Format Baru Mata Pelajaran Sejaram SPM Mulai Tahun 2013




☆☆☆ Mulai SPM 2015, terdapat 2 jenis soalan KBAT iaitu jenis analitikal (jawapan perlu ada Fakta & Huraian) dan jenis holistik / rubrik (jawapan perlu ada Fakta, Huraian, Huraian Lanjutan atau Contoh & Inferens).

Calon perlu mengenalpasti jenis soalan sebelum menjawab soalan KBAT bagi mengelakkan calon tidak mendapat markah penuh.

Panduan menjawab soalan struktur

Soalan Bahagian A mengandungi 4 soalan (1 soalan 10 markah) dan wajib jawab semua soalan.

Cadangan masa menjawab : 1 soalan = 15 minit.
4 soalan x 15 minit = 1 jam


    Soalan 1 dan 2 dari mana-mana topik tingkatan 4 (ada 10 topik)

    Soalan 3 dan 4 dari mana-mana topik tingkatan 5 (ada 9 topik)


1. Garis @ highlite kata tugas (contoh : jelaskan, apakah, terangkan dll) dan kata kunci (keyword). Jawab berdasarkan soalan yang ditanya.

2. Sentiasa lihat markah bagi setiap soalan. Jawapan hendaklah sesuai dengan markah yang diperuntukkan.

Contoh : markah untuk soalan = 2m maka berilah 2 isi atau lebih.

3. Soalan (d) atau (e) biasanya soalan KBAT (kemahiran berfikir aras tinggi). Calon perlu menggunakan jawapan yang munasabah.

Panduan menjawab soalan esei

Soalan Bahagian B yang mengandungi 7 soalan (1 soalan 20 markah) dan wajib jawab 3 soalan sahaja.

Cadangan masa menjawab : 1 soalan = 30 minit.
3 soalan x 30 minit = 1 jam 30 minit.

    Soalan 5, 6  dan 7 dari mana-mana topik tingkatan 4 (ada 10 topik)

    Soalan 8, 9, 10 dan 11 dari mana-mana topik tingkatan 5 (ada 9 topik)


1. Gunakan tip menjawab soalan struktur (rujuk bahagian atas)

2. Tulis jawapan/fakta penting pada kertas soalan (tulis pada ruangan kosong di dalam kertas soalan) supaya tiada isi yang tertinggal semasa menulis esei.

3. Pilih 3 soalan yang paling mudah  untuk anda jawab & boleh memberikan markah yang tinggi. Pastikan anda menjawab mengikut masa yang dicadangkan.

4. Jangan lupa tuliskan nombor soalan dan gunakan teknik menjawab '1 soalan menggunakan 1-2 helai kertas jawapan'. Tulis jawapan untuk soalan seterusnya di muka surat yang baru.

5. Gunakan bahasa Melayu moden dan elakkan menggunakan kata singkatan, SMS atau sebagainya.

6. Tulisan hendaklah kemas, tidak terlalu kecil dan boleh dibaca oleh pemeriksa.

Panduan menjawab soalan Kertas 3

1. Pastikan calon membaca terlebih dahulu buku teks dengan merujuk kepada Tema Umum yang telah diberikan.

2. Pastikan juga anda telah membaca Contoh Soalan Dan Skrip Jawapan Sejarah Kertas 3 yang telah di'print' dan highlite fakta penting bagi memudahkan calon memilih jawapan dan tidak membuang masa ketika mencari jawapan.

3. Tulis fakta/jawapan mengikut markah yang telah diperuntukkan.

Contoh : markah yang diperuntukkan ialah 10 markah, berilah 10 - 13 fakta/jawapan yang munasabah.

4. Jawapan hendaklah ditulis dalam bentuk esei seperti Kertas 2 (Bahagian B - Esei)

Terkini (Mei 2017)

Saya telah mengajar 'Formula Target Sejarah' kepada pelajar-pelajar di sekolah saya. Formula ini dapat membantu calon untuk mengira berapakah markah / gred yang hendak mereka capai. Formula ini ternyata berkesan dan telah berjaya dilakukan oleh pelajar-pelajar saya. Di sini saya kongsikan formula tersebut dengan anda semua :

    (Kertas 1 + Kertas 3 = lulus) + Kertas 2 = gred baik / cemerlang


Contoh : Ali mendapat 24 markah untuk Kertas 1 dan 19 markah untuk Kertas 3. Jumlah markah kertas 1 + kertas 3 = 43 (melepasi markah lulus iaitu 40 markah).

Jika Ali ingin mendapatkan gred A- (70 - 79 markah), dia perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 27 markah @ 54/100 - 36 markah @ 72/100 untuk kertas 2.

Formula ini sebenarnya mudah kerana saya mengambilkira peratus pemberatan untuk ketiga-tiga kertas iaitu Kertas 1 - 30%, Kertas 2 - 50% dan Kertas 3 - 20%. Calon akan lebih fokus dan yakin untuk mencapai target yang mereka inginkan. Selamat mencuba dan mempraktikkan 'Formula Target Sejarah' ini.

** Anda boleh kongsikan panduan yang dinyatakan di dalam entri ini dengan kawan-kawan yang lain. Harapan saya agar anda dapat menjawab soalan Sejarah dengan penuh yakin dan mendapat keputusan cemerlang di dalam ujian bulanan, peperiksaan pertengahan / akhir tahun, percubaan SPM / SPM sebenar.

Sumber: http://www.ciklaili.com/2010/09/tip-menjawab-soalan-sejarah-spm-kertas.html
Back to Top