-->

Type something and hit enter

Pages

Translate


On
Menteri Pendidikan Tinggi mengumumkan satu statistik yang agak menakutkan. Seramai 54,103 orang graduan yang telah menamatkan pengajian gagal mendapatkan peluang pekerjaan. Jumlah tersebut merangkumi 22.7 peratus daripada jumlah keseluruhan graduan yang habis pengajian pada tahun lepas.
Walaupun begitu, tahukah anda graduan berkemahiran apa yang susah hendak mendapatkan peluang pekerjaan ini? Menerusi iluminasi.com, kami kongsikan 6 bidang kemahiran yang graduannya sukar mendapatkan peluang pekerjaan, menurut laporan Kementerian Pengajian Tinggi.
1. Pengurusan perniagaan/Pengajian perniagaan
Kebanyakan kursus perniagaan bertujuan menghasilkan graduan yang arif tentang amalan perniagaan dan pentadbiran. Graduan dilatih untuk menjadi pengurus, perunding, pentadbir atau mungkin juga usahawan yang professional. Semasa melalui kursus, graduan telah pun disediakan ilmu dalam bidang pengurusan, perakaunan, kewangan, pemasaran, ekonomi, undang-undang dan pelbagai lagi cabang lain.
2. Sains Gunaan
Program Sains Gunaan sebenarnya cukup penting dalam pembangunan sesebuah negara kerana ini merangkumi 4 cabang penting dalam bidang penyelidikan iaitu biologi, kimia, geologi dan fizik. Tidak ada penjelasan khusus dari KPT berkenaan mana satu cabang yang dimaksudkan terjejas teruk. Bidang sains gunaan bergantung kepada cabang sains yang dipilih dan kebanyakan graduan yang terhasil dilatih untuk mempunyai kemahiran dalam bidang penyelidikan, yang mungkin kurang diperlukan dalam industri negara kita setakat ini.
3. Pengurusan Sumber Manusia
Kursus ini sebenarnya adalah satu cabang lain dalam ilmu perniagaan cuma bezanya difokuskan lebih kepada aspek komunikasi dan etika perniagaan. Kita semua Jabatan Sumber Manusia atau HR Department adalah Jabatan yang bertindak menyelia dan menguruskan semua perkara tentang pekerja dari aspek pengambilan, gaji, disiplin, latihan sehinggalah menguruskan pemberhentian pekerja.
4. Perakaunan

Jawatan Akauntan adalah satu bidang yang memerlukan kelulusan professional namun tidak memerlukan sumber pekerja yang ramai. Memerlukan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dan Inggeris yang cekap, graduan perakaunan mempunyai kemahiran yang sangat spesifik jika dibandingkan dengan graduan-graduan lain seperti perbankan atau perniagaan. Pendapatan seorang akauntan yang berkelayakan ACCA sebenarnya menarik namun persaingan yang sengit membuatkan ramai graduan akauntan tiada peluang pekerjaan.
5. Seni
Tidak ada perincian kursus tentang kemahiran seni mana yang dimaksudkan tetapi kami merasakan melihat keadaan ketika ini, kebanyakan graduan yang susah hendak mendapatkan peluang pekerjaan adalah graduan yang mengambil seni halus dan seni reka, yang melibatkan hasil pertukangan seperti tekstil, logam dan lain-lain. Graduan yang keluar sebenarnya mempunyai kemahiran yang cukup tinggi tetapi dengan kemajuan teknologi yang semakin banyak menggantikan kemahiran tangan, persaingan ini nampaknya semakin tidak menguntungkan graduan-graduan.
6. Sains Sosial
Sains sosial meliputi pelbagai bidang seperti sejarah, komunikasi, geografi, sosiologi, hubungan antarabangsa dan hubungan industri sebagai contoh, namun permintaan untuk bidang-bidang ini semakin lama semakin menguncup. Kekurangan keperluan pakar dalam bidang ini terutamanya pada sektor swasta menyukarkan graduan mendapat tempat dalam industri yang kini bergerak ke arah lebih mencari pakar-pakar yang mempunyai kemahiran praktikal.
Sebagai maklumat tambahan, bukan sahaja di Malaysia mengalami masalah ini. Di Australia juga, masalah graduan sains yang menamatkan pengajian tanpa mendapat peluang pekerjaan juga berlaku.
Di negara-negara United Kingdom juga dilaporkan, hampir 50 ribu graduan dalam pelbagai bidang terpaksa bekerja dalam bidang yang langsung tidak memerlukan kelulusan pendidikan tinggi, seperti pekerja kilang, penghantar barang dan pekerja am. Daripada keseluruhan jumlah graduan pada tahun 2016, 14 ribu graduan langsung tidak bekerja.
Jelaslah, fenomena ini bukan sekadar berlaku di negara kita, tetapi juga di negara-negara lain. Saya pasti KPT mempunyai idea untuk menangani permasalahan ini namun persoalannya - adakah pendidikan tinggi patut dibentuk oleh kehendak industri yang akan menempatkan graduan-graduan ini selepas tamat belajar atau pendidikan tinggi sepatutnya mencorakkan industri yang akan dibentuk dalam negara?
Back to Top