-->

Type something and hit enter

Pages

Translate


On
Kerja-kerja amal seperti menolong membersihkan rumah warga tua dan memungut derma untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik banyak mendatangkan kebaikan kepada remaja, masyarakat dan negara.
Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.

        Firman Allah dalam surah al-Zalzalah, ayat 7 hingga 8 yang ber­maksud "Sesiapa yang melakukan amalan baik walaupun sebesar zarah sekalipun pasti akan diperlihatkan amalannya dan sesiapa yang melakukan amalan jahat walaupun sebesar zarah, pasti akan diperlihatkan amalannya”. Demikian­lah peringatan Allah terhadap hamba-hamba-Nya supaya sentiasa melakukan amalan kebajikan. Hal ini demikian kerana apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya, kecuali tiga perkara yang masih kekal iaitu sedekah dan derma yang digu­nakan untuk kebaikan, ilmu yang bermanfaat yang digunakan untuk kesejahteraan manusia dan anak-anak yang sering mendoakan ke­sejahteraan ibu bapanya. Mafhum daripada hadis ini jelas me­nunjukkan bahawa amalan yang baik, yakni kerja-kerja amal mampu mendatangkan variasi impak positif kepada remaja, masyarakat dan negara. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, sebelum malaikat maut datang men­jemput kita ke alam barzakh,  marilah kita gunakan peluang dan kesempatan masa yang dikurniakan-Nya dengan melakukan amalan yang mampu mendatangkan kebaikan kepada masyarakat sejagat. Ahli falsafah tersohor, Samuel Johnson pernah mengung­kapkan "Masa depan dibeli oleh masa sekarang". Kenyataan ini menjelaskan bahawa setiap individu perlu menggunakan masa yang terluang dengan melakukan kerja-kerja amal. Marilah kita seia sekata dan mengatur langkah yang efektif untuk membuat amal kebajikan kerana terdapat pelbagai maslahat daripada kerja amal yang kita lakukan.

          Antara maslahat yang diperoleh apabila remaja melibatkan diri dalam kerja amal ialah remaja dapat mengisi masa terluang dengan aktiviti yang berfaedah. Hal ini bertepatan dengan kata-kata Ibu Zain yang antara lainnya mengungkapkan "Sesungguhnya kebaikan sebenar ialah apabila kita bekerja menabur bakti untuk bangsa dan negara selagi kita masih bernyawa". (UM) Kata-kata beliau izhar  menunjukkan bahawa kita perlulah berbakti kepada masyarakat dengan cara mengisi masa lapang yang terluang dengan melakukan kerja-kerja amal. Oleh itu, mengisi masa lapang dengan melakukan kerja-kerja amal mampu mengatasi masalah kebejatan akhlak sedera (sekali gus) remaja tidak lagi tempang dalam menempuh cabaran hidup masa ini. Hal ini demikian kerana pada era modenisasi ini, ramai remaja terjebak dengan masalah kebejatan akhlak yang sudah terang lagi bersu­luh bercanggah dengan ajaran agama kita dan prinsip Rukun Negara yang ingin membina sebuah entiti masyarakat yang meng­utamakan kesopanan dan tatasusila dalam setiap tindakan.  Tindakan remaja melakukan kerja amal seperti menolong warga tua atau Orang Kelainan Upaya (OKU) di rumah mereka membayang­kan remaja melakukan aktiviti yang berfaedah kerana memanfaatkan usia mudanya untuk menabur bakti demi masyarakat mahupun negara. Kita harapkan apabila remaja melakukan kerja amal, masalah kebejatan akhlak seperti lumba haram, ragut, melepak, penyalahgu­naan dadah dan lain-lain lagi akan berkurang dan tidak mustahil akan mencapai tahap sifar  sekali gus dapat membendung kerenah  remaja yang dikatakan tidak mempunyai jati diri. Ada remaja yang masih tidak memahami erti kemerdekaan yang sebenar walaupun hampir 58 tahun negara kita telah mencapai ke­merdekaan. Benarlah kata-kata pakar motivasi iaitu Dr HM Tuah Iskandar al-Haj, iaitu "Hakikatnya banyak bangsa di dunia ini telah merdeka, tetapi pemikiran mereka masih terbelenggu oleh penjara diri. Konklusinya, sebagai bangsa yang merdeka, kita seyogianya keluar daripada kepompong pemikiran yang jumud supaya masa yang terluang dapat diisi dengan kerja-kerja amal sekali gus masa terluang dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. 

          Selain itu, kerja amal yang dilakukan mampu merealisasikan konsep 1Malaysia iaitu dengan mengadakan aktiviti gotong-royong yang melibatkan semua golongan dan usaha ini menjadi teras untuk membina perpaduan yang ampuh.  Aktiviti gotong-­royong merupakan salah satu kerja amal yang menjadi wahana memenuhi misi kemanusiaan iaitu membantu golongan kurang bernasib baik seperti OKU, golongan miskin dan ditimpa musibah. Hal ini demikian kerana kerja amal yang kita lakukan berupaya mendekatkan diri kita dengan masyarakat yang turut sama prihatin  iaitu ingin menghulurkan bantuan dan golongan yang dibantu. Oleh itu, kita tidak akan digelar kera sumbang. Sikap memencil­kan diri dan mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing sebenarnya menyebabkan kita kehilangan tangan kiri kita kerana hidup kita yang saling memer­lukan dalam masyarakat. Tanpa kehadiran anggota masyarakat yang lain, kita tidak mampu berdiri sebagai sebuah bangsa yang merdeka kerana sesungguhnya kemajuan sesuatu bangsa itu tidak terletak pada kesuburan tanahnya tetapi terletak pada kesatuan bangsanya. Kerja-kerja amal yang dilakukan seperti membina surau, mem­bersihkan kawasan petempatan warga tua atau rumah anak-anak yatim wajar dipergiatkan kerana remaja yang melibatkan diri akan mempunyai nilai kasih sayang sekali gus membuka peluang kepada anggota masyarakat untuk menabur bakti kepada golongan yang me­merlukan. Hal ini bukan sahaja dapat memupuk sikap suka menolong dan bersedekah dalam kalangan rakyat, justeru dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia tanpa melihat kepada perbezaan status. Kerja amal yang dilakukan juga memperlihatkan kepada kita bahawa tiada lagi wujud anggota masyarakat yang lepas tangan terhadap penderitaan orang lain. Masyarakat yang prihatin dan sentiasa menghulurkan bantuan berjaya direalisasikan kerana mereka sentiasa berpadu tenaga ke arah membantu golongan yang tidak bernasib baik ini. Intihanya, kerja amal yang dilakukan mampu membentuk ukhuwah yang erat kerana masing-masing tahu peranan yang sepatutnya dimainkan demi kesejahteraan untuk semua. 

      Manfaat daripada kerja amal yang seterusnya ialah kita berjaya menyahut cabaran Wawasan 2020 yang ketujuh, iaitu mewujudkan masyarakat penyayang. Masyarakat penyayang sering disinonimkan dengan kehidupan masyarakat yang ber­muafakat. Masyarakat penyayang tidak bersikap individualistik, sebaliknya meletakkan kepentingan masyarakat lebih daripada kepentingan diri. Kecaknaan golongan yang berupaya membantu golongan yang kurang bernasib baik membayangkan kepada kita bahawa mereka mempunyai perasaan sayang akan golongan ini kerana tidak mahu golongan bernasib malang ini terus dibelenggu kesusahan. Jack Hathawa iaitu seorang ahli falsafah sendiri pernah ditanya tentang perkara yang akan beliau lakukan sekiranya menjadi Timbalan Presiden pada suatu masa nanti dan beliau menjawab "Saya pasti akan memperjuangkan kebajikan masyarakat walaupun saya terpaksa berkorban harta dan nyawa kerana hal tersebut". Kesediaan kita membantu membina rumah, membaiki rumah ataupun mengutip dana untuk membantu golongan yang memerlukan dengan sendirinya membuktikan kita amat sayang kepada go­longan ini kerana tidak mahu mereka hidup dalam kesusahan. Masyarakat penyayang sanggup merlakukan apa-apa sahaja walaupun terpaksa berkorban harta dan nyawa demi kebajikan masyarakat. Allah berrman yang bermaksud, "Tidak akan sem­purna iman seseorang itu jika dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri'.  Oleh hal yang demikian, kerja-kerja amal yang dilakukan dapat mengukuhkan perasaan kasih dan sayang sesama insan sekali gus masyarakat penyayang dapat dijelmakan di bumi bertuah ini, Malaysia.

    Akhirulkalam, semua anggota masyarakat perlulah berganding bahu dalam melaksanakan obligasi sebagai anggota masyarakat yang prihatin terhadap keperitan dan kesusahan yang dialami oleh golongan yang daif dan ditimpa musibah. Segala amal baik yang dilakukan akan merealisasikan visi kudsi negara ke arah mela­hirkan masyarakat penyayang seperti yang diwara-warakan oleh pemimpin negara. Hal ini bertepatan dengan sikap kita rakyat Malaysia yang terkenal dengan adab dan nilai-nilai murni yang tinggi dan moleklah kita jelmakan nilai tersebut dengan melaku­kan kerja amal terhadap anggota masyarakat kita yang kurang bernasib baik. (UNSUR NILAI/MENDIDIK PEMBACA) Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat, (UNGKAPAN MENA­RIK) marilah kita mengatur langkah sederap, seia sekata agar usaha kita berupaya meringankan beban golongan yang memerlukan bantuan dan merealisasikan slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. (UNGKAPAN MENARIK)
Back to Top