-->

Type something and hit enter

Pages

Translate


On
Soalan Lazim Urusan Pengambilan Guru Baharu Kementerian Pendidikan Malaysia
1.   Bagaimanakah proses pengambilan guru baharu dilaksanakan?
Jawapan: Urusan penyelarasan pengambilan guru baharu bermula di peringkat pengumpulan data graduan yang diperoleh daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Universiti Awam (UA). Penyelarasan pengambilan dan penempatan gra­duan pendidikan ini dilaksanakan berdasarkan kekosongan perjawatan serta keperluan opsyen. Bahagian Pe­ngurusan Sumber Manusia (BPSM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mendapatkan maklumat keperluan opsyen daripada Sektor Operasi Pendidikan (SOP), KPM berdasarkan jumlah kekosongan jawatan semasa bagi merancang jumlah bekalan graduan yang diperlukan untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah di bawah pentadbiran KPM.

Seterusnya, jumlah be­kalan yang diperlukan akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bagi tujuan temu duga. di mana  calon perlu memohon terlebih dahulu melalui portal www.jobsmalaysia.com untuk panggilan temu duga SPP. Calon yang berjaya dalam temu duga akan mengemas kini maklumat melalui sistem e-Graduan dan SOP yang terlibat akan menguruskan penempatan mereka.

2.   Apakah kriteria yang diambil kira dalam melaksanakan urusan unjuran pengambilan guru?
Jawapan: Penyelarasan pengambilan dan penempatan gra­duan pendidikan dilaksanakan berdasarkan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen. Kekosongan jawatan ini merangkumi guru-guru yang bersara wajib, bersara pilihan, berlakunya peletakan jawatan dan kematian serta pembukaan institusi (sekolah) baharu. Keperluan opsyen pula berdasarkan kekosongan opsyen guru di sesebuah sekolah/institusi, jumlah pembukaan institusi baharu serta perubahan dasar semasa Kerajaan. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) akan membuat perancangan unjuran pengambilan guru baharu dengan mengambil kira kriteria-kriteria tersebut melalui kerjasama dan maklumat yang diperolehi daripada pelbagai Bahagian peringkat kementerian dan agensi pusat sebelum diselaraskan dengan IPGM dan juga UA.

3.  Apakah Dasar semasa Kerajaan dalam urusan pengambilan guru baharu memandangkan terdapat banyak Institusi Pengajian Tinggi yang menawarkan Ijazah dalam bidang pendidikan?
Jawapan: Dasar semasa Kementerian dalam urusan pengambilan guru baharu  adalah dengan memberi keutamaan kepada graduan IPGM dan UA keluaran semasa khususnya yang diberi tajaan oleh KPM untuk ditemu duga lantikan tetap oleh SPP berdasarkan kekosongan jawatan yang terhad dan keperluan opsyen di sekolah-sekolah di bawah pentadbiran Kementerian KPM.

4.   Bilakah graduan Pendidikan yang telah ditemu duga akan ditempatkan?
Jawapan: Graduan pendidikan keluaran 2014/2015 telah ditemu duga secara berfasa oleh SPP pada November 2015 dan April 2016 bagi tujuan pelantikan dan penempatan memandangkan kekosongan jawatan yang terhad di sekolah-sekolah bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh negara.

Dalam hal ini, pelantikan dan penempatan guru baharu di KPM dibuat berdasarkan keperluan semasa yang tinggi di negeri Sabah dan Sarawak memandangkan mereka telah terlebih dahulu ditemu duga oleh SPP iaitu pada November 2015.  Proses penempatan guru baharu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat berdasarkan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen semasa iaitu dijangka mulai bulan Julai 2016 tertakluk kepada keputusan rasmi temu duga yang diterima daripada SPP.

5.   Apakah prosedur yang perlu dilakukan oleh graduan yang tidak dilantik untuk berkhidmat dengan KPM?
Jawapan: Bagi graduan Pendidikan yang tidak dilantik berkhidmat dengan KPM atas pelbagai sebab seperti gagal temu duga SPP, tidak hadir temu duga, hadir tetapi tidak ditemu duga kerana tidak membawa dokumen yang lengkap, menolak tawaran pelantikan dan penempatan atau sebagainya, mereka perlu memohon semula ke SPP melalui portal www.jobsmalaysia.gov.my.

Bagi graduan yang gagal temu duga, mereka boleh memohon semula selepas enam (6) bulan dari tarikh keputusan temu duga dikeluarkan melalui portal SPP. Tempoh enam (6) diberikan oleh SPP untuk memohon semula bertujuan memberi peluang kepada calon untuk memperbaiki kelemahan diri.

Walau bagaimanapun, berdasarkan surat SPP rujukan SPP.30/22/4(19) bertarikh 27 Mac 2015,  graduan yang menolak tawaran akan disenarai hitam selama satu (1) tahun sebelum layak memohon semula ke jawatan PPP Gred DG41. Dalam hal ini, panggilan temu duga adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen semasa KPM.

Selain itu, setiap calon perlu bersaing dengan graduan semasa dan hanya graduan yang terbaik sahaja akan dipilih oleh SPP berdasarkan merit, keperluan opsyen dan prestasi temu duga.

6.   Terdapat pelbagai sistem online yang digunapakai dalam operasi KPM. Boleh terangkan tentang sistem e-Graduan?
Jawapan: Sistem e-Graduan dibangunkan sebagai penambahbaikan dalam urusan pengambilan dan penempatan guru baharu.  e-Graduan merupakan modul baharu bagi Sistem Pengurusan Sekolah (SPS), KPM di bawah Pengurusan Guru. Modul  ini dibangunkan oleh Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), KPM dan diseliakan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), dan Sektor Operasi Pendidikan (SOP) KPM. Modul ini melibatkan proses pengambilan dan penempatan guru baharu yang melibatkan beberapa kategori pengguna iaitu graduan dan pentadbir sistem.

Sistem ini merupakan aplikasi yang dibangunkan bagi memberi peluang kepada graduan Pendidikan untuk mengemaskini maklumat peribadi terkini untuk memudahkan pelaksanaan urusan penempatan bagi graduan yang telah lulus temu duga.

Sumber : http://www.moe.gov.my/v/soalan-lazim-view?id=345&cat=62&keyword=&page=1&subcat=&
Back to Top