Kewajaran Penggunaan Telefon Bimbit di Sekolah
Teknologi yang canggih telah membantu
manusia untuk melaksanakan pelbagai urusan dan menjadikan negara kita semakin
maju. Ringkasnya, peralatan teknologi yang canggih dapat membantu manusia
membuat sesuatu kerja yang tidak termampu dilakukan oleh manusia. Sehubungan
dengan itu, pelbagai alat teknologi seperti komputer, telefon bimbit, satelit
dan sebagainya telah dicipta dari semasa ke semasa untuk kemudahan kita selari
dengan era moden yang penuh kecanggihan ini.
Antara alat canggih yang telah dicipta
oleh manusia, telefon bimbitlah yang paling biasa digunakan. Dengan adanya
telefon bimbit, kita dapat menghubungi sesiapa sahaja walau di mana-mana pun
hatta berada di tempat yang sangat jauh. Selain itu, pengendali telefon bimbit
juga memperkenalkan perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS). Selain itu,
kamera serta pemain muzik juga telah dipasangkan pada telefon bimbit. Telefon
bimbit juga semakin canggih hingga boleh melayari laman web dan juga
menggunakan perkhidmatan 3G.
Kebanyakan ibu bapa membeli telefon bimbit
untuk anak-anak mereka kerana mudah dihubungi. Oleh itu, kita dapat melihat
banyak murid yang mempunyai telefon bimbit termasuklah murid-murid sekolah
rendah. Setelah mempunyai telefon bimbit, mereka dapat membuat apa-apa sahaja
serta dapat pergi ke mana-mana sahaja kerana dengan kemudahan telefon bimbit,
mudah sahaja hendak menghubungi mereka. Sebagai akibatnya, banyak murid akan
membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan.
Walau bagaimanapun, penggunaan telefon
bimbit di sekolah boleh mendatangkan kemudaratan. Apabila pelajar membawa
telefon bimbit ke sekolah, mereka akan mengakibatkan banyak masalah disiplin.
Mereka akan menunjuk-nunjukkan telefon yang dibelikan oleh ibu bapa mereka.
Maka, sikap materialistik wujud dalam diri pelajar yang masih setahun jagung
itu. Pelajar yang tidak mempunyai telefon bimbit juga akan berasa tersisih
kerana tidak ada teman berbual seperti kawan lain yang mempunyai telefon
bimbit.
Oleh hal yang demikian, mereka berasa
rendah diri dan tidak puas hati dan akhirnya mereka mungkin mencuri telefon
bimbit orang lain. Kesannya, pihak sekolah pula terpaksa menguruskan kes
kecurian sehingga menyebabkan proses pemelajaran terganggu. Soalnya, adakah
patut kita membebankan guru dengan beban baharu, iaitu menjadi pegawai
penyiasat kecurian telefon bimbit? Sudah tentu perkara sebegini ingin dijauhi
lebih-lebih lagi banyak masalah lain yang ditimbulkan oleh para pelajar.
Selain itu, pelajar tidak dapat menumpukan
perhatian semasa guru sedang mengajar kerana mereka akan bermain dengan telefon
bimbit. Seterusnya, apabila terdapat deringan telefon bimbit, proses
pembelajaran dan pengajaran akan berhadapan dengan gangguan. Semasa ujian,
pelajar juga boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghantar mesej berbentuk
jawapan kepada rakan yang lain. Perkara ini adalah amat tidak berakhlak dan
tidak adil terhadap pelajar lain.
Dengan telefon bimbit yang canggih, mereka
dapat mengambil gambar serta mendengar lagu kegemaran mereka. Gejala seperti
ini tidak patut berlaku di sesebuah sekolah. Selain itu, dengan menggunakan
telefon bimbit, pelajar-pelajar dapat memuat turun gambar-gambar atau klip-klip
video yang tidak senonoh. Mereka akan berkongsi gambar atau klip video tersebut
dengan rakan. Maka, pelajar akan mudah tepengaruh dengan gejala tidak sihat
yang mungkin boleh merosakkan masa depan mereka.
Mengikut kajian, telefon bimbit akan
mengeluarkan sejenis gelombang bunyi yang akan menjejaskan kesihatan. Tambahan
pula, kini para pelajar masih dalam proses tumbesaran. Telefon bimbit tidak
sesuai digunakan oleh murid-murid yang berusia muda kerana akan menjejaskan
kesihatan mereka. Hakikat ini haruslah diberikan perhatian oleh setiap pihak.
Mencegah itu lebih daripada merawat. Janganlah apabila kesihatan sudah
terjejas, pihak lain pula dipersalahkan sedangkan mereka sudah diingatkan
berkali-kali tentang kesan gelombang telefon itu.
Natijahnya,
melalui perbincangan yang disampaikan di atas, kita dapat mengetahui impak
penggunaan sebuah alat yang canggih ini terhadap para pelajar. Bagi mengelakkan
perkara-perkara tersebut berlaku, adalah lebih baik para pelajar menggunakan
telefon bimbit apabila dewasa nanti kerana telefon bimbit memerlukan kos
penggunaan yang tinggi. Namun demikian, semua hal ini tertakluk kepada diri
individu itu sendiri bak peribahasa tepuk dada tanyalah selera.