-->

Type something and hit enter

Pages

Translate


On
KARANGAN SPM - PERANAN IBU BAPA DALAM USAHA MENDIDIK DAN MELAHIRKAN ANAK-ANAK YANG BERAKHLAK MULIA.

Memetik daripada ucapan mantan perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, “bekerjasama dan bergading bahulah untuk mendidik dan melahirkan anak bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang”. Sesungguhnya, kata-kata tersebut lebih ditujukan kepada ibu bapa yang sangat memainkan peranan dalam usaha membentuk anak-anak yang berakhlak mulia. Arus urbanisasi tidak sewajarnya disalahkan menghalang ibu bapa mendidik anak-anak daripada terjebak dengan gejala social yang membawa keruntuhan akhlak.

Antara peranan ibu bapa dalam usaha membentuk anak-anak yang berakhlak mulia ialah, ibu bapa hendaklah menasihati dan mendidik anak-anak sejak dari akar umbi lagi, seperti kata-kata pepatah “meluntur buluh biar dari rebungnya”. Didikan yang sempurna dan diterapkan nilai-nilai murni dan keagamaan sejak kecil mampu melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia dan menghargai jasa-jasa yang ibu bapa mereka taburkan selama ini.

Kedua, ibu bapa haruslah memberikan kasih saying yang secukupnya kepada anak-anak. Sesungguhnya, anak-anak sangat dahagakan kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Ibu bapa janganlah asyik mengejar kemewahan hidup atau dengan kata lain, mengejar syurga sehingga anak-anak terabai. Tegasnya disini, anak-anak yang diabaikan oleh ibu bapa mereka, lebih cenderung untuk terdedah kepada budaya kuning lalu terjebak kepada pelbagai jenayah dan gejala social yang membawa keruntuhan institusi kekeluargaan, Ibu bapa yang memberikan kasih sayang kepada anak-anak mereka adalah satu symbol bahawa mereka sayangkan dan menghargai anak-anak agar menjadi insane yang cemerlang dan berbakti kepada negara.

Ketiga, ibu bapa mestilah meluangkan masa bersama anak-anak seperti bersama-sama beriadah pada waktu petang dan berkelah pada hujung minggu. Ibu bapa juga sewajarnya meluangkan masa untuk bersama anak-anak semasa mereka sedang mengulangkaji pelajaran. Ibu bapa juga haruslah sering bertanyakan kepada anak-anak mengenai kerja sekolah yang diberikan oleh guru-guru mereka. Sikap ambil berat terhadap pelajaran anak-anak perlu diterapkan dalam diri ibu bapa agar dapat membentuk anak-anak yang berakhlak mulia. Oleh hal demikian, anak-anak akan merasakan diri mereka dihargai dan akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk berjaya dan membalas jasa ibu bapa mereke.

Seterusnya, ibu bapa hendaklah memberi peluang kepada anak-anak untuk memberi sesuatu cadangan walaupun cadangan tersebut tidak dipersetujui oleh pemikiran ibu bapa. Ibu bapa juga mestilah cuba untuk memahami masalah yang dihadapi oleh anak-anak. Anak-anak akan lebih berani memberitahu masalah mereka kepada ibu bapa seandainya ibu bapa dapat memahami dan berbincang untuk menyelesaikan masalah mereka. Anak-anak yang berkongsi masalah kepada rakan mereka akan mendatangkan pelbagai impak negative kepada mereka. Oleh hal demikian, ibu bapa bertanggungjawab untuk lebih berlembut semasa bercakap dengan anak-anak agar mereka sudi memberitahu masalah mereka kepada ibu bapa. Hal ini dapat mengelakkan anak-anak daipada terjebak dengan gejala social yang membawa keruntuhan akhlak.

Selain itu, bagi yang beragama Islam, ibu bapa mestilah sering membawa anak-anak ke masjid untuk sama-sama solat berjemaah. Ibu bapa yang membawa anak-anak menghadiri ceramah agama dan ceramah ilmu juga adalah salah satu daripada usaha untuk membentuk anak-anak yang berakhlak mulia. Anak-anak kebiasaannya akan mengikuti tingkahlaku dan perangai ibu bapa. Oleh sebab itu, ibu bapa wajiblah menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak. Sesungguhnya , keharmonian sesebuah keluarga bermula dari akhlak dan tingkahlaku yang baik dari semua ahli keluarga.

Justeru, ibu bapa mestilah berusaha dengan bersungguh-sungguh demi membentuk anak-anak yang berakhlak mulia walaupun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran, seperti kata-kata pepatah “berakit-rakit kehulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”. Ibu bapa juga tidak seharusnya saling menuding jari jika anak-anak terjebak dengan gejala sosial, tetapi haruslah bersama-sama bergading bahuuntuk membaiki akhlak dan perangai anak-anak agar menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan Negara. Sesungguhnya, peranan dan kerjasama ibu dan bapa sangat penting dalam usaha membentuk anak-anak yang berakhlak mulia, seperti kata-kata pepatah “ringan sama dijunjung, berat sama dipikul”.

KARANGAN SPM - PERANAN IBU BAPA DALAM USAHA MENDIDIK DAN MELAHIRKAN ANAK-ANAK YANG BERAKHLAK MULIA.
Back to Top